suria

Kastam Rampas Rokok Seludup Bernilai RM500,000

KUALA LUMPUR: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kuala Lumpur merampas 50 karton rokok seludup bernilai RM500,000 yang melibatkan cukai sebanyak RM4,120,000 dalam satu serbuan di Pelabuhan Kelang semalam.

Timbalan Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Ajip Busro berkata serbuan dilakukan kira-kira 5.30 petang selepas pihaknya mendapat maklumat wujudnya cubaan menyeludup rokok putih yang belum diluluskan.

"Pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang diimport dari Thailand di pelabuhan itu mendapati ia didaftarkan sebagai 'Cooker Hood Complete With Filter and Stoves'.

"Namun selepas pemeriksaan lanjut kami menemui sejumlah 10,000,000 batang rokok jenis Luffman yang disyaki belum lulus dan rokok terbabit tidak mempunyai sebarang setem cukai mahupun dakwat keselamatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan turut mendapati modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah dengan mengikrar nama dan alamat pengimport yang tidak wujud.

Katanya seorang lelaki 36, yang bertugas sebagai pegawai dokumentasi import dan eksport di syarikat ejen perkapalan ditahan untuk siasatan lanjut bagi mengesan mana-mana individu atau syarikat yang terlibat.

Ajip berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (g) Akta Kastam 1967 iaitu dengan berpengetahuan cuba menipu KDRM. - BERNAMA

Artikel Berikut