suria

Halusi Asas Fikiran, Budaya Orang Asli Sebelum Pembangunan Mereka Dilaksana - Raja Dr Nazrin

IPOH: Pandangan, asas pemikiran dan budaya masyarakat Orang Asli perlu diperhalusi dan ditinjau secara mendalam di peringkat permulaan lagi sebelum sebarang rancangan atau program pembangunan untuk mereka dilaksanakan agar ia lebih berkesan, titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah perancangan yang dilakukan secara andaian umum dan rambang tidak akan membawa hasil berkesan, tetapi dikhuatiri akan berakhir dengan pembaziran.

"Asas pemikiran dan budaya mereka hendaklah dijadikan panduan dalam melaksanakan program. Pandangan masyarakat Orang Asli perlu ditinjau secara berkesan serta ruang untuk mereka dapat bersuara perlu dibuka dengan luas dan mudah.

"Usaha-usaha pelaksanaan hendaklah memberi ruang membolehkan mereka terlibat secara aktif dan berada di barisan hadapan. Mereka harus dijadikan komponen penting di peringkat pengumpulan makluman, di peringkat perancangan, demikian juga di peringkat pelaksanaan," titah baginda ketika merasmikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak di Kampung Kerawat, Simpang Pulai dekat sini hari ini.

Turut hadir Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Titah baginda jumlah keseluruhan Orang Asli iaitu sebanyak 140,000 orang di negara ini bukanlah angka yang besar dan berupaya diuruskan melalui perancangan yang bijak, tersusun dan rapi.

Raja Dr Nazrin bertitah negara boleh dianggap gagal dan melakukan kesalahan besar jika 25 tahun dari sekarang masih terdapat warganegara berketurunan Orang Asli yang masih kekal dalam kepompong budaya hidup yang tertinggal daripada arus pembangunan dunia moden.

"Hendaklah dijadikan azam bersama, dijadikan satu fardu kifayah yang wajib ditunaikan, dijadikan satu program berfokus untuk membela nasib 140,000 Orang Asli di bumi dan tanah air bernama Malaysia ini.

"Bahawa 25 tahun dari sekarang, masyarakat Orang Asli wajib dijelmakan dalam wajah baru, setanding dan seimbang dengan lain-lain warga Malaysia, berdirinya sama tinggi, melangkahnya sama gagah, sama-sama berjaya – sama-sama mendukung – sama-sama membina semangat satu warga – satu negara," titah baginda.

Baginda bertitah sasaran kerajaan untuk menurunkan sebanyak 3,410 daripada 13,642 ketua isi rumah Orang Asli yang miskin dalam tahun 2015 dan seterusnya mencapai tahap sifar sebelum 2020 adalah sasaran yang realistik.

Prasarana mental dan sosial wajib dibangunkan secara intensif supaya lebih ramai Orang Asli berpeluang menikmati budaya hidup moden, berpelajaran, berkemahiran dan diberikan kepercayaan yang sama dengan mengambil tanggungjawab membangunkan negara, titah baginda.

"Sasaran tersebut bukan sahaja dapat dicapai malah dengan fokus yang lebih tepat, komitmen yang lebih tinggi dan usaha yang lebih bersungguh-sungguh, sasaran tersebut boleh dicapai lebih awal. Pencapaian dapat dipesatkan lagi dengan adanya penglibatan badan-badan bukan kerajaan serta pihak swasta," titah baginda.

Raja Dr Nazrin turut berharap pusat kecemerlangan inisiatif Yayasan Orang Asli Perak dan MHC Plantation Berhad yang dirasmikannya itu dapat berfungsi sebagai satu nadi penggerak yang berkesan dan ia perlu berkembang sehingga dijadikan tanda aras modul nasional.

"Komitmen untuk memajukannya hendaklah terus membara. Peruntukan operasi dan peruntukan penyelenggaraan hendaklah senantiasa dipastikan. Amatlah dibimbangkan, jika selepas segala kehebohan perasmian disempurnakan, pusat ini mula menurun. Perlu diingatkan bahawa majlis perasmian ini bukannya kemuncak tetapi ia adalah satu tangga permulaan untuk pendakian puncak yang lebih tinggi," titah baginda.

Baginda turut mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya memperkenalkan satu dasar tanggungjawab sosial korporat kepada syarikat swasta yang menjalankan urus niaga menguntungkan di lokasi-lokasi dalam radius berhampiran penempatan Orang Asli untuk memberikan peruntukan tahunan, membantu usaha pembangunan dan pemodenan masyarakat itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain