suria

Tiada Pampasan Bawa Pulang Enjin F-5E Dari Uruguay

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak membayar sebarang pampasan kepada pihak di Uruguay dalam urusan membawa pulang enjin pesawat tempur F-5E kerana ia merupakan aset negara yang dicuri, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, enjin pesawat itu adalah hak negara dan oleh itu kerajaan tidak bertanggungjawab untuk membayar pampasan walaupun ia telah dibeli oleh pihak di negara itu.

"Tidak ada pampasan yang harus dibayar kerana itu merupakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dicuri, maka kerajaan Malaysia berhak untuk memperolehnya dan kita tidak bertanggungjawab dari segi membayar pampasan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil kepada petugas Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2010) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, enjin itu sudah dibawa pulang ke Malaysia hasil perbincangan lanjut antara Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan pihak berkuasa Uruguay.

Menurutnya, enjin berusia kira-kira 38 tahun itu dibawa pulang ke tanah air menggunakan kaedah kargo biasa dan ia akan dihantar ke satu bengkel untuk dibaiki.

"Enjin itu bukan lagi untuk pesawat barisan hadapan daripada aspek kemampuan dan teknologi, sebaliknya ia hanya untuk pesawat latihan," kata Ahmad Zahid.

Dua enjin pesawat tempur F-5E milik TUDM itu dilaporkan hilang dua tahun lepas dari Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi dan Skuadron Ke-12 di Butterworth.

Mengenai kapal selam kedua negara, KD Tun Abdul Razak, beliau berkata kapal selam jenis Scorpene itu dijangka tiba di perairan negara pada 1 Julai ini sebelum meneruskan perjalanan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut.

"KD Tun Abdul Razak sudah berlepas dari Sri Lanka dan sedang belayar pulang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain