suria

Sembilan Dipenjara Antara Lapan Hingga Sembilan Tahun Kerana Sebabkan Kematian Bapa Saudara

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman penjara antara lapan tahun hingga sembilan tahun setengah ke atas sembilan saudara sepupu kerana menyebabkan kematian bapa saudara mereka tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara ke atas K. Bagavathy, A.Poovendran dan S.Kumaraselvam yang masing-masing berusia 18, 17 dan 18 tahun semasa kejadian pada 3 Mac 2007.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas G.James, T.C. Anan Babu dan V.Arvindran yang masing-masing berusia 19, 21 dan 20 tahun sewaktu kejadian.

T.C. Letchumanan, T.C. Rajanderan dan T.C. Raja Segaran yang masing-masing berusia 27, 22 dan 24 tahun semasa kejadian, dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun enam bulan.

Siti Khadijah berkata, kesemua hukuman itu berkuatkuasa daripada tarikh mereka ditangkap pada 2007. Tarikh tepat penangkapan tidak didapati. Semasa menjatuhkan hukuman itu, beliau berkata, mahkamah membuat keputusan itu setelah menimbangkan fakta kes, faktor mitigasi seperti pengakuan bersalah kesemua tertuduh tanpa syarat yang telah menjimatkan masa dan kos perbicaraan.

Mahkamah juga mengambil kira faktor umur tertuduh semasa kejadian dan kepentingan awam berbanding kepentingan individu, katanya.

Mereka yang kesemuanya lelaki mengaku salah terhadap tuduhan pindaan menyebabkan kematian bapa saudara mereka R.Praphukumar secara berkumpulan bersama-sama beberapa orang yang masih bebas di hadapan Restoran Triple 8 Corner, Taman Segar Perdana Batu 9 Cheras, Selangor pada pukul 12.30 tengah malam 3 Mac 2007.

Kesembilan mereka pada asalnya dituduh di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Seksyen 302 Kanun yang sama pada 2007 sebelum pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan pada Rabu lepas di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 304 (a) Kanun yang sama. Dalam hujahannya pada hari ini peguambela Kumaraselvam dan James , K.A. Ramu berkata mahkamah perlu mengambil kira apakah peranan yang dilakukan oleh mereka yang masih bebas sehingga menyebabkan kematian Praphukumar.

Senjata yang digunakan di dalam kejadian itu sehingga menyebabkan kematian mangsa juga tidak dapat dilihat, katanya lagi.

Beliau berharap mahkamah tidak menjatuhkan hukuman yang panjang kepada anak-anak guamnya kerana mereka masih muda dan mencadangkan agar mereka dipenjarakan hanya selama tujuh tahun daripada tarikh ditangkap. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain