suria

NCER Akan Beri Pendedahan Peluang Seluas Mungkin Pada Usahawan

PADANG BESAR: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan memberi pendedahan seluas mungkin kepada para usahawan untuk menyertai pelbagai peluang yang diwujudkan hasil pembangunan di wilayah itu.

Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai NCER, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, antara yang dilakukan ialah mengadakan program interaksi NCER bersama usahawan mengenai manfaat yang boleh diperolehi melalui NCER.

Katanya, NCER akan membangunkan wilayah utara melalui kegiatan para usahawan yang memperolehi manfaat melalui peluang yang disediakan termasuk bantuan pinjaman dan khidmat nasihat.

"Mereka yang berminat menceburi sektor pertanian, pembuatan, pelancongan dan logistik akan diberi khidmat nasihat oleh NCER," kata Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis ketika ditemui selepas program interaksi NCER bersama usahawan di sini hari ini.

Program interaksi itu menurutnya akan membolehkan NCER berinteraksi secara lebih dekat dengan para usahawan selain para pemimpin tempatan.

Katanya, program itu turut memberi fokus kepada golongan muda kerana mereka lebih berani untuk mengambil risiko terhadap peluang-peluang yang disediakan.

Program yang seumpamanya akan diadakan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak selepas ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain