suria

Memorandum Lahir Lebih Lima Anak Dapat Faedah Bersalin Ke Kabinet

KUALA LUMPUR: Satu memorandum mengenai wanita berkerjaya yang melahirkan anak lebih daripada lima orang akan terus diberikan faedah termasuk cuti bersalin dijangka dikemukakan pada kabinet untuk kelulusan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, memorandum itu yang mengandungi cadangan pemberian faedah tersebut akan dikemukakan pada kabinet dalam masa terdekat.

"Cadangan mengenai cuti bersalin 90 hari dan menyediakan taska untuk penjagaan anak-anak ada terkandung dalam memorandum yang akan diserahkan. Ia nanti akan menjawab semua persoalan yang dikemukakan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) dan Abdullah Sani (PKR-Kuala Langat) yang mencadangkan supaya wanita terus diberikan keistimewaan daripada segi cuti dan lain-lain faedah walaupun selepas melahirkan anak kelima.

Shahrizat berkata, sebagai pengiktirafan peranan dan tanggungjawab yang dimainkan wanita, kerajaan sememangnya berusaha untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam industri guna tenaga dengan menyediakan persekitaran tempat kerja yang lebih kondusif.

Katanya, antara inisiatif yang diambil kerajaan ialah mewujudkan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak dan pusat jagaan harian berasaskan komuniti memandangkan isu penjagaan kanak-kanak merupakan salah satu isu dalam menggalakkan lebih ramai wanita menyertai pasaran pekerjaan.

"Kerajaan juga mengiktiraf peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan wanita. Sehubungan itu, dengan mengambil kira keperluan wanita dalam pembangunan negara dan tanggungjawab pada keluarga kerajaan sememangnya berusaha dengan menyediakan persekitaran tempat kerja yang kondusif," katanya.

Sementara itu Shahrizat berkata, kerajaan memandang serius tentang kes mengandung luar nikah dan isu pembuangan bayi di universiti yang dilihat semakin berleluasa.

Beliau berkata, dalam mengatasi masalah itu kementerian sentiasa bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi, polis, media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan pusat perlindungan bayi bagi wanita berumur 18 tahun ke atas yang hamil luar nikah.

Shahrizat berkata, sehingga kini lapan NGO menyediakan kemudahan tersebut dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan kewangan berbentuk geran berjumlah lebih RM1 juta sejak tahun 2004.

"Selain itu kementerian bersama Utusan Malaysia, Astro, Persatuan Karyawan telah melancarkan kempen "Kami Prihatin", sebagai permulaan dan diharap menjadi pendorong kepada sektor korporat, masyarakat dan ibu bapa dalam meningkatkan kesedaran supaya akhirnya isu pembuangan bayi dapat dibendung," katanya.

Beliau berkata, antara punca yang dikenal pasti kepada terjadinya gejala pembuangan bayi tersebut ialah kurangnya masa di kalangan ibu bapa untuk memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada anak-anak, khususnya mengenai kesihatan reproduktif.

"Ketiadaan pengetahuan ini menyebabkan remaja yang kini terdedah dengan bahan-bahan pornografi dalam Internet terdorong untuk mencuba apa yang dilihat mereka tanpa menyedari kesan yang akan dihadapi," katanya.

Sehubungan itu Sharizat berkata, kementerian telah memperkenalkan program perintis Pendidikan Kesihatan Reproduktif di lima sekolah di lima negeri sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengatasi gejala tersebut.

"Kita telah mendapatkan kelulusan daripada Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran untuk memperkenalkan pendidikan ini sebagai percubaan dan jika berjaya ia akan diperkenalkan di semua sekolah," katanya.

Persidangan bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain