suria

Mahkamah Perintah Laporan Audit Konsesi Air Diumumkan Kepada Orang Ramai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Kerajaan Persekutuan mengumumkan kepada orang ramai laporan audit dan perjanjian konsesi air yang ditandatanganinya dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Pesuruhjaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail berkata, pendedahan dokumen itu tidak bercanggah dengan kepentingan negara dan awam.

Sebaliknya kata beliau, ia akan memenuhi kepentingan awam kerana memaklumkan kepada mereka cara kerajaan berfungsi dan menggalakkan perbincangan tentang perkara berkaitan hal ehwal awam.

Hadhariah membuat keputusan itu bagi memenuhi permohonan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 pihak lain agar semakan penghakiman dibuat berikutan tindakan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menolak permintaan mereka agar dokumen berkenaan didedahkan kepada orang ramai.

Pada 7 November 2006, mereka menghantar sepucuk surat kepada menteri itu memohon agar laporan audit dan butiran perjanjian konsesi berkenaan didedahkan kepada umum, tetapi ditolak kementerian berkenaan pada 4 Dis 2006 atas alasan dokumen terbabit telah diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia.

Utiliti itu kini terletak di bawah portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Hadhariah memerintahkan responden pertama iaitu Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi mengemukakan dokumen berkenaan kepada MTUC dan pemohon lain dalam masa tujuh hari.

Dalam penghakiman beliau, Hadhariah berkata, walaupun perjanjian konsesi itu belum didedahkan kepada umum, tetapi maklumat tentang air bukan hasil (NRW) dan peratusan pengurangannya, formula peningkatan tarif, tempoh kajian semula dan pembayaran pampasan kepada Syabas telah diedarkan oleh media dan pihak ketiga.

"Oleh itu, ia tidak lagi boleh dianggaap sebagai maklumat rahsia kerana ia merupakan isu-isu utama. Lagipun, perjanjian konsesi bukan suatu perjanjian persendirian. Ia dibuat dengan mengambil kira kepentingan awam," kata beliau.

Hadhariah berkata orang ramai bergantung pada konsesi dan tadbir urus yang baik oleh kerajaan bagi melindungi kepentingan mereka dan oleh itu, demi kepentingan awam juga, perjanjian itu perlu diumumkan kepada orang ramai.

"Sehubungan itu, oleh kerana ketelusan, kebertanggungjawaban dan keutamaan merupakan perkara yang diperlukan oleh rakyat, maka adalah wajar perjanjian konsesi diumumkan kepada orang ramai. Saya berpendapat bahawa mahkamah perlu memihak kepada pihak yang mempunyai rasa terkilan dalam hal berkaitan kepentingan awam," katanya.

Mengenai laporan audit pula, beliau berkata ia mengandungi maklumat berkaitan perjanjian konsesi yang ada hubungan dengan kenaikan tarif air dan sekiranya perjanjian itu didedahkan kepada umum, maka laporan audit itu juga perlu diumumkan kepada orang ramai kerana ia merujuk dan mengandungi komen tentang peruntukan tertentu dalam perjanjian berkenaan.

Beliau berkata, walaupun responden berkata laporan audit itu diklasifikasikan sebagai rahsia kerana ia dibentangkan kepada Kabinet, maka adalah tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa sebarang dokumen yang dibentangkan kepada Kabinet secara automatik disifatkan sebagai "Rahsia" mengikut Seksyen 2A Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kata beliau, pemohon mempunyai locus standi kerana mereka adalah penguna air berbayar di kawasan yang diliputi perjanjian konsesi berkenaan dan bukan sebagai "penyibuk, kaki cucuk dan pembuat kacau".

Sekiranya tarif air dinaikkan, mereka tidak ada pilihan selain membayar lebih untuk air kerana tidak terdapat pembekal alternatif. Selepas permintaan mereka ditolak, MTUC dan 13 pihak lain termasuk pengerusinya Syed Sharir Syed Mohamud serta dua anak beliau berusia 10 dan 15 tahun, mendapatkan kebenaran mahkamah pada 14 Jun 2007 bagi memperoleh semakan semula penghakiman dengan menamakan menteri terbabit, kerajaan Malaysia dan kerajaan Selangor sebagai responden.

Kata mereka, sebagai pengguna air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, mereka berhak mendapatkan laporan audit dan perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 15 Disember 2004.

Mereka mendakwa bahawa laporan audit itu menjadi asas bagi kenaikan tarif air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang seperti yang diumumkan pada 14 Oktober 2006.

Kata mereka, kerajaan berkewajipan di sisi undang-undang untuk bertindak secara telus dan bertanggungjawab dalam menguatkuasakan peraturan berkaitan pasaran air dan dalam keadaan yang menimbulkan syak bahawa pasaran air digunakan bagi mengaut keuntungan secara melampau.

Pemohon berkata mereka telah menulis surat kepada menteri berkenaan pada 7 November 2006 bagi meminta dua dokumen berkenaan daripada beliau, tetapi ditolak kementerian itu pada 4 Disember 2006 atas alasan dokumen berkenaan telah diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia kerajaan.

Pemohon diwakili peguam Ang Hean Leng, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili menteri berkenaan dan kerajaan Malaysia dan Md Azhari Abu Hanif, pembantu penasihat undang-undang Selangor, mewakili kerajaan negeri itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain