suria

Lelaki Argentina Ditahan Cuba Sogok Polis

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Argentina cuba menyogok dua anggota polis selepas dia diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah berhampiran Kelab Ukay, Bukit Antarangsa, Ampang semalam.

Lelaki itu yang berumur 25 tahun itu kini ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Teman wanitanya iaitu warga tempatan yang berumur 41 tahun yang turut membantu suspek menyediakan wang untuk menyogok telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, tangkapan bermula pada 2.30 petang semalam, ketika suspek sedang memandu kereta bersama empat lagi rakannya.

"Melihat keadaan mereka yang mencurigakan, dua anggota polis cuba menahan suspek-suspek itu, namun mereka bertindak memecut laju kenderaan mereka bagi mengelak daripada diberkas.

"Namun kereta Toyota yang dipandu laju itu terbabas apabila melanggar pembahagi jalan. Empat daripada lima suspek sempat keluar dari kereta dan melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, suspek yang dapat ditahan itu kemudiannya merayu kepada polis supaya membebaskannya dengan menawarkan RM10,000.

"Melihat keengganan anggota kita menerima tawaran daripadanya, suspek kemudian menggandakan tawarannya menjadi RM20,000," kata Abdul Jalil.

Beliau berkata, suspek kemudiannya menghubungi teman wanitanya untuk membawa wang tunai ke Balai Polis Ulu Kelang tempat dia sedang ditahan.

"Teman wanita suspek yang juga warga tempatan datang ke balai polis kira-kira pukul 5.30 petang dengan membawa bersama wang tunai yang dijanjikan dan kami akhirnya turut menahan teman wanita suspek," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati empat suspek yang melarikan diri itu merupakan warga Amerika Latin dan polis tidak menolak kemungkinan mereka menggunakan pas pelancong untuk masuk ke negara ini.

"Kita masih menjejaki empat lagi rakan suspek. Kumpulan ini juga dipercayai baru saja memecah masuk sebuah rumah berhampiran kawasan mereka ditahan ekoran terdapat sebuah tv LCD, set home theatre dan beberapa alatan pecah rumah seperti kunci pendua dan spanar di dalam kereta Toyota berkenaan," kata Abdul Jalil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain