suria

KPDNKK Tubuh Pasukan Khas Pantau Gula Di Kelantan Selama Sebulan

KOTA BARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menubuhkan sebuah pasukan pemantau bagi menangani isu bekalan gula di Kelantan.

Ketua Pengarah kementerian Mohd Roslan Mahayuddin berkata pasukan yang diketuai Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Terengganu Abdul Ghani Harun akan berada di negeri tersebut selama sebulan bermula hari ini.

Pasukan itu yang dianggotai pegawai dari Kuala Lumpur, Terengganu dan Kelantan akan memantau semua premis pemborong, pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin, serta pangkalan haram bagi mencegah penyeludupan gula, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata isu ketirisan bekalan gula di Kelantan harus ditangani segera memandangkan negeri itu memerlukan 5,000 tan metrik gula sebulan berbanding Terengganu hanya 2,000 tan metrik sekalipun jumlah penduduk kedua-duanya hampir sama.

Malah katanya, sejak dua bulan lepas kerajaan menambah bekalan gula ke Kelantan sebanyak 200 tan metrik lagi.

"Kalau kira cukup, sudah lebih daripada cukup, tetapi apa sebabnya berlaku demikian kita akan pantau dan pastikan bekalan gula di negeri ini cukup," katanya.

Mohd Roslan tidak menolak kemungkinan aktiviti penyeludupan ke negara jiran menjadi punca permintaan terhadap gula di Kelantan begitu tinggi.

"Pasukan khas ini akan menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan bekalan gula di Kelantan sampai kepada pengguna dengan sistematik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain