suria

Ia Adalah Satu Ritual...

“Naim pulang ke rumah dengan memakai pakaian seragam tentera. Ia tidak akan padam dari ingatan saya,” demikianlah kata-kata ibu kepada Allahyarham Kadet Mohammad Naim Mustaqim yang meninggal dunia Khamis baru-baru ini di asrama putra Maktab Tentera Diraja (MTD). Kematiannya dikaitkan dengan budaya buli yang telah menjadi sebati dalam dunia sekolah berasrama penuh.

Ketika penulis dan pengarang-pengarang kanan akhbar kami duduk bermesyuarat petang, salah satu isu yang diperkatakan ialah tentang kes kematian kadet MTD itu. Soalan pertama yang ditanya ialah apa warden asrama buat? Apakah mereka sedar wujudnya amalan buli yang keterlaluan?

Itulah juga soalan pertama yang keluar dari mulut bapa Mohammad Naim selepas selesai majlis mengkebumikan anak lelaki kesayangannya kelmarin. Isu buli di sekolah khususnya sekolah berasrama penuh adalah satu lumrah. Ia seperti tidak dapat dihapuskan apatah lagi di sebuah kolej tentera.

Ini kerana ia telah menjadi satu ritual iaitu jika anda berjaya melalui proses pembulian itu dengan gagah dan berani, anda akan muncul sebagai seorang anak jantan sejati. Kalau tidak, apa makna masuk maktab tentera. “Tapi masalahnya ialah buli merupakan satu bentuk ketagihan di bawah sedar,” demikian kata seorang kawan yang pernah mendiami di asrama. “Bila sekali buat, ia tidak boleh dihentikan...dan ia diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi pelajar yang lain. Ia adalah satu ritual.”

Itulah hakikat sebenarnya kehidupan di asrama. Beberapa kenalan penulis enggan menghantar anak mereka ke sekolah berasrama penuh kerana khuatir anak mereka akan menjadi mangsa buli. Dan di MTD khabarnya, budaya membuli telah sampai ke peringkat yang digeruni sehinggakan terdapat desus desus yang mengatakan ramai ibu-bapa enggan menghantar semula anak mereka kembali ke kolej selepas cuti penggal baru-baru ini.

Nak dijadikan cerita, kematian Kadet Mohammad Naim Mustaqim berlaku hanya seminggu selepas penggal kedua persekolahan bermula. Ia seolah-olah mengesahkan kebenaran di sebalik khabar angin tersebut apatah lagi kini polis telah pun menahan lima kadet yang lain untuk membantu siasatan.

Sementara kita berasa sedih dan bersimpati dengan apa yang telah menimpa Mohammad Naim lebih-lebih lagi apabila menatap wajah ibu bapa dan sanak saudaranya yang lain tetapi pada masa yang sama, kejadian malang ini telah membuka mata kita semua bahawa inilah masanya untuk kita mendesak pihak sekolah dan asrama melakukan sesuatu untuk menghalang ritual ini daripada berterusan di dalam asrama.

Selama ini kita menutup sebelah mata kerana kita semua sepertimana ibu bapa Mohammad Naim, takut nanti anak kita akan diperlakukan lebih teruk jika kejadian ini dilaporkan. Kejadian yang menimpa Mohammad Naim membuktikan sebaliknya. Oleh kerana kita menutup sebelah matalah dan oleh kerana kita takut hendak melaporkanlah maka seorang budak yang sepatutnya mempunyai masa depan dan karier yang cemerlang telah meninggal dunia. Demi detik dan masa, ia mestilah dihentikan.

Malah dalam kes yang berlaku di MTD, warden asrama mestilah turut dipertanggungjawabkan kerana mereka tidak menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah menjaga keselamatan dan hal ehwal anak-anak kita sebagaimana yang kita semua harapkan. Penulis kira, umum juga ingin mengetahui apakah bentuk tindakan yang bakal diambil ke atas warden asrama MTD itu. Reputasi MTD kini di hujung tanduk.

Sekolah-sekolah berasrama penuh lagi elit sepertimana MTD, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan lain-lain lagi diwujudkan dengan harapan ia akan melahirkan para budiman yang suatu hari kelak mampu dan berjaya memimpin negara atau menjadi kapten kepada industri dan memacu negara kita ke paras yang lebih dinamik dan berjaya.

Di sinilah karakter seorang bakal budiman seharusnya diperhaluskan agar mereka menjadi seorang yang terhormat dan dihormati. Sebab itulah mereka tinggal di asrama bukan di rumah.

Malangnya jika keyakinan masyarakat terhadap keselamatan anak-anak mereka tidak dikembalikan, siapakah yang akan mengizinkan anak-anak mereka dihantar ke sekolah-sekolah elit ini dan akhirnya hasrat negara untuk melahirkan para budiman yang bakal memimpin negara ini akan turut terjejas dan tidak akan tercapai.

Sementara umum ingin mengetahui apa yang sebenarnya terjadi ke atas Allahyarham Mohammad Naim, pada masa yang sama umum juga mahu mendengar satu jaminan bahawa keselamatan anak-anak mereka di asrama penuh adalah terjamin.

Soalnya ialah, siapakah yang patut memberi jaminan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain