suria

Bekalan Ubat Di Hospital, Klinik Kerajaan Mencukupi: Liow

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan tidak pernah mengurangkan bajet pembelian ubat-ubatan dan semua klinik serta hospital kerajaan dibekal dengan ubat yang mencukupi, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan masalah kekurangan ubat termasuk di klinik 1Malaysia tidak berlaku.

"Kita telah membekalkan ubat yang mencukupi, dan ia tertakluk kepada klinik dan hospital untuk menguruskannya dengan berhemah," katanya ketika menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi kementerian pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tan mempersoalkan bagaimana masalah kekurangan ubat boleh berlaku di klinik kerajaan ketika kerajaan berjanji untuk memberikan sistem perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Liow menafikan dakwaan Tan bahawa berlaku kekurangan ubat di klinik-klinik kerajaan dan sekiranya benar, beliau meminta Tan menyatakan nama doktor atau klinik terlibat untuk membolehkan siasatan dijalankan.

Liow berkata, sekiranya ubat daripada jenama tertentu tiada dalam simpanan, doktor boleh memberikan ubat daripada jenama lain untuk mengubat penyakit sama.

Beliau berkata, para doktor juga boleh memberi cadangan kepada kementerian untuk membekalkan ubat baru yang berkesan untuk merawat sesuatu penyakit.

Sementara itu, Liow berkata, pengasingan peranan di antara pembekal perkhidmatan kesihatan dan pengawalselia tidak bermakna kerajaan lepas tangan dalam memelihara kesihatan rakyat.

"Pembekal.. kita bagi autonomi kepada hospital-hospital di mana mereka perlu bersaing untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Mereka perlu ada cara bagaimana nak tingkat keberkesanan khidmat mereka.

"Kawal selia, perundangan dan dasar masih lagi di bawah kementerian untuk digariskan. Jangan keliru," katanya ketika menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) mengenai pengasingan peranan yang akan dilaksanakan kementerian di bawah RMK-10. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain