suria

Sarjan Parah Dilanggar Penunggang Motosikal

SHAH ALAM: Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan pada mulanya berada dalam keadaan koma sebaik dirempuh oleh sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua lelaki di Bulatan Setia Jasa berhampiran Masjid Negeri awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 2.15 pagi semasa pasukan polis mengadakan operasi mencegah perlumbaan haram di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun Sarjan Abdul Wahid Dikon, 42, dilaporkan telah sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin berkata selepas kajadian, mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

"Mangsa baru sedarkan diri, tetapi masih tidak dapat mengingati apa-apa perkara," katanya.

Beliau berkata polis percaya penunggang motosikal tersebut mengambil tindakan demikian bagi mengelak ditahan polis.

"Kami percaya tindakan itu diambil apabila penunggang berkenaan melihat polis di hadapannya lalu memecut laju motosikalnya," katanya.

Noor Azam berkata penunggang dan pembonceng motosikal itu yang masing- masing berusia 25 dan 23 tahun telah ditahan reman.

Kedua-duanya yang bekerja di sebuah kilang di sini akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain