suria

Penyertaan 40 Ulama Muda Dalam UMNO Satu Tamparan Hebat Bagi PAS

REMBAU: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata kesediaan 40 ulama muda mengganggotai Umno menunjukkan mereka berminat untuk bergerak bersama sayap Pemuda parti.

"Saya percaya dengan penyertaan mereka, kita boleh menganjurkan lebih banyak program berunsur kerohanian terutamanya di kawasan-kawasan isu-isu politik sering dikaitkan dengan agama," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Rembau dekat sini hari ini oleh Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Mohamad Hasan.

Beliau berkata perkembangan terbaru itu satu tamparan hebat kepada Pas yang selama ini menganggap ia parti politik pilihan golongan ulama.

Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rembau dan anggota Parlimen Rembau menganggap Presiden Pergerakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, sebagai 'gedebe politik'.

Katanya anggota Parlimen Pasir Mas itu dilihat lebih cenderung mengambil kesempatan terhadap sesuatu isu untuk kepentingan diri sendiri.

Selain kaum-kaum lain, Khairy berkata sebahagian besar orang Melayu juga kurang senang dengan pendekatan agresif Ibrahim dalam memperjuangkan hak-hak bangsa.

"Dia (Ibrahim) tidak sopan dan suka cari gaduh dengan orang lain. Sekiranya kita tidak jauhkan diri daripada Ibrahim, Barisan Nasional (BN) akan terkena tempiasnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain