suria

Malaysia Rancang Tubuh Akademi Francais

KUALA LUMPUR: Satu rancangan untuk menubuhkan Akademi Francais sedang dikaji bagi memperluaskan lagi latihan bidang berkenaan dalam negara, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai menjadi hab francais di rantau Asean.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perbadanan Nasional Berhad sudah diminta menkaji rancangan itu.

Katanya, beliau berharap Akademi Francais itu dapat direalisasikan ekoran industri francais yang meluas dalam negara, selain kerajaan turut menyediakan Akta Francais 1998 bagi menyokong kemajuannya.

"Di rantau Asean ini tidak ada lagi akademi francais yang melatih francaisi atau francaisor. Malaysia juga sebenarnya berada di hadapan berbanding negara-negara lain dalam perkara ini, kerana Akta Francais hanya ada di Malaysia sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Francais 2010 di sini Sunway dekat sini.

Menurutnya Akademi Francais juga dilihat memberi banyak manfaat termasuk melahirkan francaisi yang berkelayakan dan profesional.

"Dengan adanya akademi ini, ia dapat mengajar francaisi tentang modul, bisnes dan sebagainya mengenai francais, jadi mereka (francaisi) akan jadi lebih baik," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu Ismail Sabri berkata, sehingga Jun lepas, 447 perniagaan francais berdaftar di dalam negara, iaitu 303 atau 68 peratus merupakan francais tempatan dan 144 (32 peratus) francais asing.

Beliau berkata, kerajaan menggalakkan syarikat-syarikat dalam negara mendapatkan hak sebagai Master Francaisi bagi pasaran serantau, dan meyakinkan francaisor asing untuk mengembangkan perniagaan melalui Malaysia sebagai hab francais.

Dengan peranan sebagai hab, perkhidmatan sokongan francais seperti pusat latihan dan ibu pejabat serantau akan memanafaatkan negara dari segi pertumbuhan dan pemantapan perniagaan.

Ismail Sabri juga berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menganjurkan ekspo francais antarabangsa 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 30 Julai hingga 1 Ogos ini bagi membolehkan pengeluar 100 produk francais dan institusi sokongan industri itu mempamerkan produk masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain