suria

Lelaki Mati Ditikam, Seorang Lagi Mati Terjatuh Dalam Pergaduhan Di Taman Melawati

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati ditikam manakala lelaki yang menikamnya juga maut setelah terjatuh bangunan dalam cubaan melarikan diri dalam kejadian di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Taman Melawati Hulu Klang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner (ACP) Abdul Jalil Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang juga merupakan rakan serumah kepada abang suspek telah bergaduh di dalam sebuah bilik rumah itu.

Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, beliau berkata abang suspek yang mendengar pergaduhan itu masuk ke dalam bilik dan terkejut apabila melihat rakan serumahnya mati ditikam dengan kepala berlumuran darah akibat dipukul dengan sebatang besi manakala adiknya juga berlumuran darah dengan sebilah pisau tercacak di perut.

Abdul Jalil berkata abang suspek kemudian meluru keluar untuk membuat laporan polis dan ketika itu suspek walaupun berlumuran darah kerana cedera cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah kedai itu tetapi terjatuh.

Beliau berkata suspek yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi meninggal dunia pada 6.30 petang. Mayat mangsa juga hantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

"Sebatang besi dan sebilah pisau ditemui di tempat kejadian," kata Abdul Jalil.

Sementara itu, rakan mangsa, Eddy Suraj,32, yang menyaksikan kejadian itu berkata ketika sedang membaiki kereta berhampiran rumah kedai itu beliau melihat suspek memanjat bumbung sambil memegang sebatang besi.

"Ketika itu badannya berlumuran darah. Apabila polis sampai dia naik ke atas bumbung dan tidak mahu turun walaupun polis memujuknya sehinggalah dia terjatuh," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain