suria

Kerajaan Persekutuan Sokong Usaha Jadikan Bau Destinasi Pelancongan Utama

BAU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan persekutuan akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri Sarawak untuk mengembangkan lagi potensi sektor pelancongan di daerah Bau, di bahagian Kuching, yang pastinya akan menguntungkan penduduk tempatan.

Katanya, beliau yakin daerah itu mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan sebagai satu destinasi pelancongan utama di Sarawak, yang bakal merancakkan lagi aktiviti ekonomi di samping meningkatkan pendapatan penduduk jika dirancang dengan baik.

"Ini merupakan lawatan kali pertama saya ke daerah Bau yang mana kebanyakan penduduknya terdiri daripada suku kaum Bidayuh dan saya amat terharu dengan sambutan yang begitu meriah dam mesra yang diberi kepada saya serta rombongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Gawai Karnival Redeems 2010 anjuran Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (Redeems) di Kampung Apar, Singgai di sini malam tadi.

Beliau diiringi oleh isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos dan Menteri Muda Alam Sekitar Datuk Peter Nansian pada majlis itu. Pada majlis penuh warna-warni yang memancarkan keindahan budaya dan tradisi gemilang masyarakat tempatan itu, Muhyiddin turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Bidayuh kerana memberi sokongan padu kepada kerjaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, ramai daripada kalangan kaum Bidayuh kini berjaya dalam bidang pendidikan, sosial dan ekonomi.

"Saya amat berharap agar mereka akan terus berjuang untuk mencapai kemajuan bersama-sama dengan kerajaan BN, yang akan sentiasa bersama untuk memajukan kaum Bidayuh dan kaum-kaum lain di negeri Sarawak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain