suria

Azmin Ali Pernah Tegur MB Selangor

SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mengakui pernah menegur Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan kepimpinannya berhubung beberapa isu di negeri ini termasuk hal ekonomi.

Menurut beliau, amalan kerenah birokrasi yang masih diamalkan dalam pentadbiran kerajaan negeri perlu dihentikan serta-merta.

"Sebelum kita ke Putrajaya, kita nak pastikan bahawa Selangor dapat ditadbir secara terbaik, sebab itu pentadbiran negeri mesti kurang kerenah birokrasi dalam negeri ini, kelulusan mesti cepat, telus dan bertanggungjawab.

"Teguran yang dibuat berdasarkan hasil maklum-balas masyarakat perniagaan di Selangor... birokrasi mesti dihentikan serta-merta," katanya ketika ditemui pada program pemukiman PKR di sini semalam.

Bagaimanapun Mohamed Azmin menafikan beliau mengetuai barisan Ahli Parlimen mendesak supaya Abdul Khalid disingkirkan daripada jawatannya.

"Kita tegur, kita bukan minta Tan Sri Khalid untuk digugurkan... kami tak pernah kata Tan Sri Khalid mesti dipecat," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat 15 Ahli Parlimen parti itu merancang untuk menggulingkan Abdul Khalid, beliau berkata: "Tak ada pakatan 15 Ahli Parlimen... yang ada Pakatan Rakyat sahaja.

"Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, kita sayang dengan Menteri Besar, sayang dengan kerajaan negeri, sebab itu kita perlu tegur," katanya.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, beliau kecewa kerana selepas sebulan teguran berkenaan dibuat semasa Kongres PKR di Kota Baru baru-baru ini, tiada tindakan proaktif diambil oleh Abdul Khalid dan barisan exconya.

"Saya dan pimpinan (PKR) merasakan Menteri Besar dan pasukan exconya perlu memberikan perhatian secara serius terhadap teguran yang dibuat oleh ahli parti di kongres.

"Tapi malangnya setelah sebulan kongres berlangsung, kita belum nampak ada satu tindakan yang proaktif untuk mengambil perhatian tentang teguran ahli parti... itu sahaja," katanya.

Katanya lagi beliau sentiasa mendokong kepimpinan Abdul Khalid untuk memajukan Selangor, namun berharap satu tindakan segera diambil bagi menangani pelbagai isu yang timbul di negeri ini.

"Mesej kita ialah masalah ini perlu dipandang serius, kritikan ini perliu ditangani segera, saya dukung sepenuhnya kepimpinan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar, namun sebagai Menteri Besar, aduan perlu ditangani segera," katanya.

Artikel Lain