suria

Anggota Polis Mati Terjatuh Dari Tingkat 3 Hotel

KOTA BHARU:Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel di sini kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.

Menurut seorang petugas hotel berkenaan anggota polis yang mengalami pendarahan serius di kepala itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Beliau berkata, sebelum kejadian, sepasukan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) datang ke hotel itu untuk membuat pemeriksaan biasa.

"Beberapa minit kemudian seorang peniaga di sebelah hotel itu memberitahu kakitangan hotel itu mengenai seorang lelaki yang dilihat terjatuh dari bangunan hotel dalam keadaan berlumuran darah," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya ketika ditemui anggota polis itu sedang mengerang kesakitan dan kakitangan hotel kemudian menghubungi ambulans yang membawanya ke hospital untuk rawatan.

Anggota polis yang bertugas di Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan sejak tiga tahun lalu itu meninggalkan seorang isteri berumur 26 tahun dan seorang anak berumur tiga tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. - BERNAMA

Artikel Lain