suria

30% Gagal Bayar Balik Pinjaman TEKUN

PEKAN: Kira-kira 30 peratus daripada 170,000 peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) di seluruh negara gagal menjelaskan pinjaman mereka.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, kebanyakan peminjam gagal membayar semula pinjaman selepas perniagaan mereka tidak berdaya maju dan menemui kegagalan.

"Tekun memberikan pinjaman berjumlah RM1.5 bilion kepada 170,000 peminjam sejak ditubuhkan pada 1989 dan daripada jumlah itu kira-kira 70 peratus membuat pembayaran semula manakala 30 peratus gagal menjelaskan hutang," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau berkata, pihaknya bersedia melonggarkan syarat bayaran balik kepada peminjam terbabit bagi memastikan dana Tekun terus dapat diagihkan kepada peminjam baru, dan menurutnya ketika ini peminjam juga diberi kelonggaran membayar balik pinjaman tanpa perlu mengikut perjanjian yang dibuat sebelum ini.

"Sebab itu sekarang ada peminjam yang bayar hanya RM200 sebulan walaupun sepatutnya mereka membayar RM500, kerana kami mahu menggalakkan peminjam untuk membayar balik pinjaman walaupun tidak seperti syarat yang dipersetujui," katanya.

Sementara itu Abdul Rahim berkata, sambutan terhadap pinjaman Tekun sentiasa mendapat sambutan masyarakat malah RM500 juta pinjaman dipohon tahun lepas.

Namun menurutnya akibat kekurangan dana, hanya pinjaman berjumlah RM300 juta sahaja yang diluluskan tahun lalu.

Sehingga Mei tahun ini pula sejumlah RM130 juta pinjaman diagihkan kepada kira-kira 12,000 pemohon.

Artikel Lain