suria

Tujuh Lot Rumah Kedai Musnah Kebakaran Di Wakaf Baharu

TUMPAT: Tujuh lot rumah kedai satu tingkat musnah dalam satu kebakaran yang berlaku awal pagi ini berdekatan stesen keretapi Wakaf Baharu di sini menyebabkan kesemua bangunan yang dibina dangan kayu itu musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Yaakob Abdullah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pukul 1.38 pagi dan bomba tiba ke tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian mendapati sebahagian besar bangunan yang dianggap usang itu musnah dan api marak dengan cepat.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan tiada kecederaan dialami ke atas penghuni rumah itu," katanya di tempat kejadian, hari ini.

Beliau berkata 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Pengkalan Kubor dan Jalan Darulnaim, Kota Baharu berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke rumah-rumah berdekatan.

"Antaranya yang musnah ialah kedai runcit, kedai jahit dan kedai menjual santan segera," katanya.

Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian sedang disiasat. - BERNAMA

Artikel Lain