suria

Mayat Dua Lelaki Ditemui Di Landasan KTMB Sungai Buloh

KUALA LUMPUR: Mayat dua lelaki, yang identiti mereka belum dikenal pasti, ditemui terbaring di tepi landasan di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Sungai Buloh di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata kedua-dua mangsa ditemui orang awam pada 11.30 pagi dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Kita percaya kedua-dua mangsa yang berumur dalam lingkungan 30-an itu cuba melintas landasan, bagaimanapun tidak perasan kehadiran kereta api menyebabkan mereka dilanggar kereta api yang dalam perjalanan ke utara," katanya.

Beliau berkata akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak ke tepi landasan dan maut di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan lain.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka mungkin dirempuh kereta api pukul 10 malam tadi apabila pemandunya berasa seperti melanggar sesuatu objek di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, setelah diperiksa, polis bantuan dari KTMB gagal mengesan sebarang objek di tempat kejadian sehinggalah penemuan dua mayat lelaki berkenaan pagi ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang kehilangan anggota keluarga menghubungi balai polis berhampiran bagi membuat pengecaman dan membantu polis mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa.

Sementara itu, seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika dia melintas jalan di Kilometer 14.8 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang menghala Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor Supt Che Husin Omar berkata kejadian berlaku pada 10.45 pagi dan Gurdial Singh a/l Beir Singh, 87, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai tergesa-gesa melintas jalan dan dapati di kawasan itu tidak mempunyai laluan pejalan kaki," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata bagaimanapun, pemandu kereta itu akan diambil keterangan bagi membantu polis menyiasat kes tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain