suria

Lapan Wanita Filipina Mangsa Pemerdagangan Manusia Diselamatkan

KUALA LUMPUR: Lapan wanita warganegara Filipina yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan dalam satu serbuan di sebuah kelab malam terkenal di Bandar Sunway awal pagi ini.

Ketua Operasi Supritendan Maszely Minhad berkata, bertindak atas maklumat orang awam dan risikan, serbuan dilakukan kira-kira pukul 1 pagi oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) dan IPK Selangor, Pasukan Unit Anti Pemerdagangan Manusia (ATIP) Jabatan Imigresen dan Kastam.

"Kita percaya dapat selamatkan lapan wanita terbabit berumur lingkungan 21 hingga 31 tahun selain menahan seorang lelaki Myanmar dan seorang wanita Filipina dipercayai dalang sindiket terbabit."

"Di kelab malam ini juga kami menangkap empat wanita warganegara Myanmar di bawah Akta Imigresen kerana salah guna permit," katanya kepada pemberita di tempat kejadian dalam operasi yang berakhir kira-kira pukul 5 pagi itu.

Maszely berkata lanjutan daripada maklumat terbabit, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Taman Wawasan Puchong dan berjaya menyelamatkan dua wanita warganegara Filipina dan menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warganegara Filipina.

"Kita percaya lelaki terbabit yang merupakan pemandu teksi dalam sindiket ini dengan menguruskan penghantaran mangsa untuk pelacuran manakala wanita terbabit bertindak sebagai Mummy (ibu ayam)," katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya sindiket ini melibatkan mangsa Filipina dalam eksploitasi seks dan dalangnya adalah warga Afrika dan warga Filipina manakala pelanggannya warga Afrika.

Sejak awal tahun ini hingga kini, seramai 27 orang wanita Filipina telah berjaya diselamatkan dari sindiket ini dan empat dalang pelbagai negara telah ditangkap, katanya.

Sementara itu, seorang juruteknik berumur 37 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia ditahan dalam satu serbuan di rumahnya di Taman Puchong Jaya malam tadi.

Operasi yang diketuai oleh ASP Mazlan Hassan itu dilakukan selepas polis menerima maklumat wujudnya pemain judi dan terus menahan suspek di dalam rumah terbabit ketika sedang leka melayari laman web pertaruhan.

Difahamkan ketika ditahan, suspek berada di dalam rumah terbabit bersama isteri dan dua anaknya dan polis turut merampas wang tunai RM400, dua buah komputer riba dan kertas pertaruhan.

Turut difahamkan suspek telah rugi hampir RM3,000 sejak Piala Dunia 2010 bermula 11 Jun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain