suria

Rayuan Kes Poligami Bung Moktar disebut 1 Julai ini

SHAH ALAM: Rayuan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin terhadap hukuman sebulan penjara ke atasnya akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 1 Julai ini.

Ketua Pendaftar Zainor Rashid Hassin menetapkan tarikh itu sebagai pengurusan kes untuk pihak-pihak memasukkan dokumen yang berkaitan sebelum pendengaran kes rayuan bermula.

Peguam syarie Amli Embong yang mewakili Bung Moktar berkata, pihaknya akan memasukkan kronologi kes dan ringkasan hujahan pada tarikh tersebut.

“Pihak kami telah memfailkan rekod rayuan dan sesalinan telah diserahkan kepada responden dalam kes ini, iaitu Pedakwa Syarie,” tambahnya.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor, Zusyarafain Md Yusof mengesahkan perkara tersebut.

Dalam kes ini, Bung Moktar memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini, Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada 19 Mei lalu.

Selain hukuman penjara, beliau juga diperintahkan untuk menjelaskan denda sebanyak RM1,000 yang telah pun dibayar.

Hukuman itu dijatuhkan selepas beliau mengaku bersalah atas tuduhan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, iaitu dengan mengahwini pelakon, Zizie Izette A. Samad, 32, pada pukul 8.50 malam, 16 Disember 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah nombor 12, Jalan TC2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak.

Pada prosiding hari ini, Bung Moktar, 51, yang hadir bersama dua sahabatnya sempat meluangkan masa bersama petugas media dan berbual tentang Piala Dunia yang sedang berlangsung.

Disoal pasukan pilihannya, Bung Moktar menjawab:”Sudah tentu Argentina kerana ada Messi (Lionel). Saya suka pemain yang lincah.”

Artikel Sebelum

Artikel Lain