suria

Najib Ucap Tahniah Kepada Perdana Menteri Baru Australia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada Julia Gillard atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Australia yang baru.

Perdana Menteri membuat panggilan telefon dari pejabatnya di sini kepada Gillard, yang merupakan wanita pertama menjadi Perdana Menteri Australia, pada pukul 12.46 tengah hari dan berbual kira-kira empat minit.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, Najib berkata dalam perbualan itu, kedua-dua mereka bersetuju supaya Malaysia dan Australia perlu sentiasa berurusan bagi memajukan lagi kepentingan bersama.

"Kita setuju memandangkan bahawa Malaysia dan Australia mempunyai hubungan yang telahpun terjalin sekian lama dan banyak kepentingan bersama di rantau ini dan di peringkat global," katanya.

Najib berkata beliau juga mengalu-alukan Perdana Menteri Australia yang baru itu untuk membuat lawatan ke Malaysia dan di rantau ini.

"Beliau (Gillard) berkata dalam sehari dua ini memang tumpuannya ialah terhadap (perkara) domestik sebab akan hadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Tetapi bila masa sesuai, beliau akan melawat Malaysia dan beliau juga berharap saya melawat Australia," katanya.

Gillard, 48, dipilih sebagai perdana menteri Australia setelah Kevin Rudd meletakkan jawatan daripada berdepan dengan undi tidak percaya, kurang daripada tiga tahun selepas memegang jawatan berkenaan.

Wanita kelahiran Wales itu, dipilih tanpa pertandingan dalam satu pemilihan Parti Buruh dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Australia, semalam.

Gillard yang sedia maklum bahawa beliau tidak dilantik Perdana Menteri oleh rakyat Australia, berikrar akan mengadakan pilihan raya umum dalam beberapa bulan akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain