suria

Muhyiddin Gesa NGO Ekonomi Melayu Gerakkan Program Pembangunan Kapasiti

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu perlu menggerakkan sendiri program pembangunan kapasiti keusahawan dengan kerjasama agensi pembangunan kapasiti bagi mengelakkan pembaziran dana.

Dengan cara itu, Timbalan Perdana berkata NGO ekonomi Melayu akan mampu menggerakkan program secara langsung kepada kumpulan sasaran, sekali gus mengelakkan program yang gagal memenuhi objektif.

"Zaman kita mengadakan program semata-mata untuk memenuhi laporan tahunan persatuan sudah sepatutnya berlalu. Kini kita mahu lihat program yang lebih berkualiti dan yang mempunyai Bidang Keberhasilan Utama dan Petunjuk Prestasi Utama," katanya pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) ke-45 di sini.

Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin juga menggesa NGO ekonomi Melayu supaya melaksanakan proses transformasi selari dengan proses transformasi kerajaan supaya bergerak seiring dan memberi fokus bersama dalam isu-isu berkaitan pembangunan ekonomi orang Melayu.

Katanya peranan NGO ekonomi Melayu sebagai kumpulan pendesak dan meminta-minta dari kerajaan mungkin kurang relevan dalam konteks model baru ekonomi.

"Zaman NGO Melayu menjadi laluan kepada permohonan projek secara patronage sudah berlalu," katanya.

Beliau berkata hari ini kerajaan mahu melihat NGO ekonomi Melayu, khususnya DPMM, memimpin usahawan Melayu yang berwibawa, berkelayakan dan berkemampuan untuk merebut peluang kekayaan negara.

Kerajaan juga komited untuk memberi ruang kepada mereka yang gagal dalam perniagaan melalui program peluang kedua dan akan dibantu dan diperkasa melalui program sokongan untuk meningkatkan kapasiti mereka.

Di samping itu, beliau juga menyeru ahli NGO ekonomi Melayu, DPMM khususnya, untuk meletakkan kepentingan ekonomi ummah sebagai asas perjuangan apabila menjalankan proses pemilihan kepimpinan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain