suria

Lembaga Pengarah PKNS Timbang Peletakan Jawatan Azmin

PETALING JAYA: Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membuat pertimbangan berhubung hasrat Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali untuk melepaskan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah perbadanan itu.

Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan semalam mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Azmin menerusi faks pada tengahari semalam.

"Kerajaan Negeri menghormati keputusan Yang Berhormat Azmin, namun Menteri Besar tidak boleh membuat sebarang komen sehingga Ahli Lembaga Pengarah PKNS menimbangkan peletakan jawatan itu," menurut kenyataan berkenaan.

Laporan akhbar The Star hari ini yang memetik sumber berkata bahawa antara sebab pengunduran Azmin daripada PKNS adalah kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan Abdul Khalid yang tidak merujuk kepada kepimpinan tertinggi PKR.

Malah sumber itu turut menyatakan bahawa Azmin juga tidak berpuas hati dengan keputusan Abdul Khalid melantik Faekah Husin sebagai Setiausaha Politiknya bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS dibuat pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 2009.

Pelantikan itu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 10 Februari 2009 dan akan tamat pada Februari 2011.

Turut dilantik ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan, Teresa Kok dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri, Iskandar Abd Samad.

Artikel Sebelum

Artikel Lain