suria

Kelantan Dapat Peruntukan Besar RMK-10

GUA MUSANG: Selain peruntukan wang ehsan RM25 juta, Kelantan turut mendapat peruntukan lebih besar berbanding beberapa negeri lain dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim berkata Kelantan merupakan antara beberapa negeri yang mendapat peruntukan besar untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan meningkatkan ekonomi rakyat dalam RMK-10.

"Peruntukan itu berdasarkan perkembangan semasa mengenai kemiskinan rakyat negeri itu yang memerlukan pembelaan sepanjang masa bagi menyamai kemajuan dengan negeri-negari lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan MCA Bahagian Gua Musang di sini hari ini.

Lim, yang juga Naib Presiden MCA, berkata keutamaan kemajuan lebih pesat dalam RMK-10 ialah pembinaan jalan raya dan menaikkan taraf jalan sedia ada bagi menyelesaikan masalah perhubungan penduduk.

"Kerajaan Persekutuan tidak pernah membelakangkan kemajuan negeri Kelantan, sebaliknya lebih diutamakan, tanpa mengambil kira kerajaan negeri terbabit di bawah pemerintahan Pas," katanya. Lim berkata semua pihak harus melihat perubahan di negeri itu sejak langkah kerajaan menyalurkan peruntukan lebih besar termasuk bagi projek mega.

"Tengoklah sendiri kerajaan membelanjakan untuk rakyat Kelantan khususnya pembinaan jambatan baru Sultan Yahya Petra menghubungkan Kota Baharu dan Tumpat," katanya.

Lim berkata banyak lagi jalan akan dibina bukan sahaja di kawasan kampung tetapi menghubungkan antara bandar di Kelantan.

Mengenai lesen perjudian bola sepak, beliau berkata kerajaan akan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang langkah seterusnya.

"Kerajaan tidak akan tergesa-gesa mengeluarkan lesen judi pertaruhan bola sepak. Memanglah ada yang mahu lesen judi itu diluluskan tetapi tidak kurang pula yang membantah, sebab itu kita mahu lebih banyak pandangan untuk dibuat kajian mengelak timbul suasana tidak baik dalam masyarakat,” katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain