suria

Rogol Budak: Pemuda Diarah Bela Diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan seorang pemuda untuk membela diri atas dua pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie untuk dijawab tertuduh, Mohd Malek Ridhzuan, 22 tahun.

Beliau menetapkan 18 Ogos ini sebagai tarikh mendengar pembelaan tertuduh yang akan diberikan secara bersumpah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 1 pagi sebelum mengulangi perbuatan terkutuk itu pada pukul 3 pagi, 23 April 2008 di sebuah hotel di Jalan Sarawak off Jalan Pudu, di sini.

Dia yang masih bujang ditangkap lima hari selepas kejadian dan didakwa kali pertama pada 9 Mei 2008.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Humairah Abdullah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Amril Pal Singh kelihatan tenang menerima keputusan tersebut.

Artikel Lain