suria

Polis Tahan 49 Wanita Warga Asing Dalam Ops Noda Di Manjung

LUMUT: Polis daerah Manjung menahan 49 wanita warga asing dalam satu serbuan di sebuah kelab malam dua tingkat di Seri Manjung di sini dalam operasi 'Ops Noda' awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Osman berkata operasi pada 1 pagi itu dijalankan selepas mendapati kelab malam berkenaan menjalankan perniagaan melebihi waktu ditetapkan.

"Dalam operasi itu, kita menahan dua wanita warga China dan 47 wanita warga Vietnam berusia antara 20 dan 30-an. Ketika serbuan dibuat mereka sibuk melayan pelanggan di kelab malam itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata serbuan itu diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ibu pejabat Polis Daerah Manjung, ASP Zulkarnain Samsudin bersama anggota jabatan itu dan Balai Polis Seri Manjung.

Polis turut memeriksa pelanggan kelab malam berkenaan dan bertindak menyaman pemilik premis kerana menjalankan perniagaan melebihi waktu yang ditetapkan, katanya.

Beliau berkata kesemua wanita itu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Mereka melakukan kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong," katanya.

Mohd Jamil berkata pemilik premis itu dikenakan dakwaan mengikut Seksyen 11 (3) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Perak 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain