suria

Pelan Induk SPAD Pastikan Taraf Pengangkutan Awam Darat Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melaksanakan satu pelan induk bagi memastikan usaha menaiktaraf pengangkutan awam darat di negara ini berjalan lancar.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, usaha tersebut akan dijalankan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam hingga 12 bulan bermula September tahun ini.

“Dalam tempoh jangka masa panjang suruhanjaya ini akan meuwujudkan satu pelan utama untuk mengintegrasikan sistem pengangkutan awam darat di negara ini.

“Ini termasuklah penambahbaikan kemudahan awam di kawasan luar bandar,” katanya pada sidang media khas SPAD di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPAD, Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal dan Ketua Pegawai Operasi Shahril Mokhtar.

Syed Hamid berkata, pelan utama itu turut memberi tumpuan kepada usaha penambahbaikan sistem kereta api di kawasan bandar dan luar bandar secara menyeluruh.

“Kita menyasarkan untuk mencapai 12 peratus penggunaan pengangkutan awam dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

“Bagi tempoh dua tahun akan datang pula kita sasarkan sebanyak 25 peratus penduduk Malaysia akan menggunakan pengangkutan awam kerana kemudahan sedia ada telah pun dinaiktaraf secara berterusan,” katanya.

Menurutnya, suruhanjaya itu juga akan turut mengadakan forum bagi mendapatkan maklum balas daripada orang ramai sebelum pelan induk pengangkutan awam darat diumumkan.

"Dalam forum yang akan diadakan itu nanti orang ramai berpeluang memberi cadangan dan maklum balas mereka mengenai langkah-langkah untuk menaiktaraf pengangkutan awam darat di negara ini.

"Pada masa yang sama SPAD juga menerima cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan mendengar pendapat daripada pengendali bas transit serta bas ekspres di negara ini," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata suruhanjaya berkenaan sedia menerima apa jua cadangan dan kritikan yang dilemparkan kepada mereka bagi memastikan pengangkutan awam di negara ini lebih sistematik dan menjadi tumpuan orang ramai.

"Kita tahu orang ramai agak tidak senang untuk menggunakan pengangkutan awam kerana tempoh masa bas dari satu destinasi ke destinasi yang hendak dituju memakan masa yang lama.

"Kita harap dengan adanyan pelan induk itu nanti kita dapat membuat penambahbaikan kepada pengangkutan awam seperti bas dan sistem kereteapi di negara ini," ujarnya.

Jelasnya, tumpuan utama suruhanjaya itu ditubuhkan adalah bagi melaksanakan lima inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Lima inisiatif berkenaan ialah:

* Meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas transit antara bandar di samping mempunyai sistem perhentian bas yang lebih teratur dan sempurna.

* Membina sebuah perhentian bus integrasi di Lembah Klang yang mampu menampung 1,000 bas dalam tempoh satu-satu masa.

* Menyusun semula jaringan perkhidmatan dan laluan bas transit di Lembah Klang serta melaksanakan sistem tiket pintar.

* Mewujudkan sistem pemantauan standard bagi semua pengangkutan awam di negara ini.

SPAD ditubuhkan selepas Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan pada sesi Parlimen lepas.

Sebagai satu badan induk, suruhanjaya itu akan memberi tumpuan kepada usaha penambahbaikan bermula dengan pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.

Objektif utama penubuhan suruhanjaya itu adalah bagi membentuk dasar-dasar berkaitan pengangkutan awam, mengawal selia dan merancang perkhidmatan rel, bas dan teksi serta pengangkutan barangan melalui rel dan jalan raya.

Bagi menjayakan objektif itu, SPAD akan mengambil alih fungsi-fungsi beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Keretapi Malaysia, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta fungsi Pesuruhjaya Pelancongan dalam urusan perlesenan bas-bas pelancongan.

Artikel Lain