suria

Pegawai depot Petronas Didakwa Atas Dua Tuduhan Rasuah

KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai penguasa Depot Petronas Berhad Cawangan Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini semalam terhadap dua pertuduhan rasuah melibatkan nilai suapan sebanyak RM3,500.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Jasmi Mohd Jemadi, 43, dituduh menerima nilai suapan RM1,500 melalui akaun Maybank daripada Azmi Abu Bakar iaitu pemilik syarikat Dual Metal Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada Ibu Pejabat Petronas tentang kebocoran 'injap cakera' yang dibekalkan oleh syarikat itu kepada Depot Petronas Melaka.

Tertuduh yang berasal dari Batu Pahat, Johor dituduh melakukan perbuatan itu pada 7 Feb tahun lepas kira-kira pukul 6.09 petang di Malayan Banking Berhad, Cawangan Paka, Jalan Besar Pusat Niaga Paka, Dungun.

Mengikut kertas pertuduhan kedua, Jasmi didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada Azmi melalui cara sama pada 24 Feb tahun lepas kira-kira pukul 3 petang untuk tujuan sama.

Pendakwaan di hadapan Hakim M. Bakri Abdul Majid dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Ahmad Nizam Wan Omar.

Tertuduh, memakai baju berkotak-kotak berwarna gelap dan berseluar denim, yang mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu kemudian ditawarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin sementara tarikh sebutan semula kes.

Dia bagaimanapun memohon kepada mahkamah supaya wang ikat jamin itu dikurangkan separuh daripada jumlah asal dengan alasan terpaksa menanggung empat orang anak yang masih kecil selain mempunyai seorang isteri tidak bekerja.

Hakim kemudian memerintahkan supaya tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar wang ikat jamin hari ini dan dia dibawa ke Penjara Marang untuk sementara waktu memandangkan warisnya dari Johor gagal hadir semalam untuk membayar wang jaminan itu. - BERNAMA

Artikel Lain