suria

Khaled: Tiada Universiti Baru Diwujudkan Dalam RMK-10

KUALA LUMPUR: Tiada halangan untuk sektor swasta menubuhkan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) walaupun tidak ada universiti baru akan diwujudkan dalam tempoh itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"RMK-10 dilihat telah menyediakan iklim yang baik dan kondusif untuk sektor pengajian tinggi khususnya dalam soal pembangunan modal insan negara.

"Peningkatan peruntukan untuk pembangunan bukan fizikal kepada 40 peratus dalam RMK-10 adalah sesuatu yang turut berlaku dalam sektor pengajian tinggi dengan penekanan diberikan kepada pembangunan intelektual.

"Maka atas sebab itu dilihat tidak ada universiti-universiti baru akan diwujudkan sepanjang tempoh RMK-10 bagaimanapun swasta masih boleh menubuhkan IPTS sebagaimana dilakukan Kolej Laila Taib di Sarawak yang sedang memohon untuk naik taraf," katanya semasa menggulung perbahasan RMK-10 bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Khaled berkata pelbagai usaha sedang dan akan diambil kementerian untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi kehendak pasaran dan industri.

Antaranya adalah menerusi pelaksanaan autonomi kepada universiti secara berperingkat dalam empat bidang utama iaitu tadbir urus institusi, pengurusan kewangan dan penjanaan kekayaan, pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik, katanya.

"Untuk meningkatkan kompetensi graduan juga, faktor kebolehgajian atau boleh upaya diambil kerja graduan akan dijadikan satu daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti. Penyediaan peruntukan kewangan kepada universiti akan bergantung kepada sejauh mana universiti mencapai KPI ditetapkan.

"Bagi tujuan pembangunan holistik pelajar, kementerian mewajibkan Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah di IPT dan memperkenalkan kokurikulum berkredit kepada pelajar dengan memberi penekanan kepada tujuh kemahiran insaniah," katanya.

Katanya pelbagai inisiatif bagi meningkatkan daya kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar juga dilakukan, antaranya seperti penilaian semula kurikulum kursus dengan mengambil kira elemen kreativiti dan inovasi serta membuat pengubahsuaian dan penjajaran kurikulum untuk memenuhi kriteria hasil pendidikan yang merangkumi kreativiti dan inovasi seperti ketetapan Agensi Kelayakan Malaysia.

"Inisiatif lain ialah membangunkan instrumen untuk mengukur Generic Student Attributes yang menekankan antara lain berkenaan aspek kreativiti dan inovasi di bawah domain keusahawanan," katanya. Persidangan dewan bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain