suria

‘Jutawan’ Lebanon Kena Waran Tangkap

KUALA LUMPUR: ‘Jutawan’ Lubnan, Elie Youssef Najem dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini ekoran gagal untuk menghadiri perbicaraan terhadapnya hari ini.

Elie, 51, sepatutnya dibicarakan atas tuduhan berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk serta menggunakan sindiket untuk berkahwin dengan bekas isterinya, Farinnie Mohd Farid, 24 tahun.

Pasangan itu berkahwin pada 6 Oktober 2005 dan disahkan bercerai selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini, membenarkan permohonan cerai secara fasakh oleh Farinnie pada 29 April lalu.

Mereka dikurniakan dua anak, Prince-Kovadis Youssef Najem, 3, dan Nur Analeeza Sofya, 2 tahun.

Bagi kesalahan itu, Elie didakwa mengikut Seksyen 40 (2) yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohamad Sukri Abd Wahab memohon waran tangkap dikeluarkan kerana ketidakhadiran tertuduh menyusahkan pihak pendakwaan dan mahkamah.

“Perbuatan tertuduh menyusahkan dari segi masa, kos dan sebagainya termasuk untuk pihak kami menyediakan saksi,” katanya dan menambah pegawai penyiasat Jawi, Azizam Alias hadir untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Mohamad Sukri turut memohon supaya mahkamah mengeluarkan notis amaran kepada seorang kenalan tertuduh, Haslinda Mohd Rohman, 30-an, yang bertindak sebagai penjamin kepada tertuduh dengan jumlah RM500.

“Saya juga memohon supaya penjamin tersebut dipanggil pada tarikh akan datang,” katanya.

Hakim Syarie Ab Malek Awang membenarkan dan mengeluarkan notis amaran kepada Haslinda yang beralamat di Taman Selayang, di sini dan menetapkan 28 Julai ini sebagai tarikh perbicaraan yang baru.

Elie yang pernah mendakwa dirinya sebagai antara orang terkaya di dunia mengemparkan negara apabila menyatakan hasrat untuk menderma RM1.03 bilion kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) pada tahun 2006.

Bagaimanapun, janji tersebut tidak pernah ditunaikan sehingga kini.

Artikel Lain