suria

Dewan Rakyat: Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah Mungkin Ganti Peperiksaan Awam - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin akan digunakan untuk menggantikan sistem peperiksaan awam di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata menerusi sistem itu, Lembaga Peperiksaan akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan kemudian akan diukur pencapaiannya.

"Kita gantikan sistem peperiksaan awam kepada satu sistem pentaksiran berasaskan sekolah, ini belum dimaklumkan tetapi sudah dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana ia diamalkan di banyak negara.

"Mungkin ia tidak banyak beza berbanding negara lain, pokoknya ia tidak menjejaskan soal pembelajaran iaitu cara guru mengajar dan murid belajar adalah sama, tetapi bagaimana kita hendak nilai, sama ada peperiksaan awam atau sistem penilaian," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat di sini Rabu.

Beliau berkata kerajaan juga tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

"Banyak pakar kata sepatutnya dah lama buat, tetapi kenapa kita buat sekarang, kita dah lama buat kajian iaitu sejak 2007 lagi kementerian ada pasukan yang meneliti isu yang berbangkit," katanya.

Beliau berkata langkah mengurangkan peperiksaan awam ini dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurang beban tugas guru untuk mengendalikan proses peperiksaan.

Mengenai rombakan sistem pendidikan Teknik, Vokasional dan Kemahiran untuk dijadikan pendidikan arus perdana, Muhyiddin berkata kerajaan akan menambah bilangan sekolah vokasional dengan bentuk kurikulum yang baru serta latihan yang jauh berbeza daripada apa yang ada sekarang khususnya berkaitan dengan bidang yang mempunyai hubung kait dengan negara pada masa kini.

"Saya sendiri pengerusikan mesyuarat di peringkat kementerian untuk meneliti semua perkara berkenaan rombakan besar kepada pendidikan vokasional, kurikulum, infrastruktur, kemudahan dan latihannya akan diumumkan untuk pengetahuan ahli Yang Berhormat dalam masa terdekat," katanya.

Berkenaan program Permata Negara yang akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran, Muhyiddin berkata pada masa ini, kementerian sedang melaksanakan pelbagai persiapan rapi khususnya daripada segi pengurusan dan pentadbiran program tersebut.

Muhyiddin berkata pada masa ini, kementerian sudah berada di peringkat akhir melaksanakan auditan ke atas semua sekolah dan seterusnya akan menetapkan keutamaan berdasarkan kepada keperluan sesebuah sekolah.

"Dalam konteks ini, sekolah yang benar-benar memerlukan peruntukan akan diberi keutamaan dan pertimbangan yang sewajarnya. Soal lokasi atau jenis sekolah tidak timbul, semua sekolah akan diberi perhatian khusus supaya persekitaran dan pembelajaran yang kondusif dapat diwujudkan," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, dalam menentukan senarai projek-projek pembangunan dalam RMK-10, laporan audit tersebut akan diguna pakai sepenuhnya di mana penetapan pembinaan sekolah baru atau penambahbaikan berdasarkan kepada keperluan, bukan berasaskan desakan mana-mana pihak.

"Selain itu, saya juga telah mengarahkan kepada kementerian supaya membuat penilaian yang telus dalam pemberian bantuan kepada murid yang benar-benar layak menerimanya.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak khusus di bawah kementerian saya yang tidak amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata secara keseluruhannya, sebanyak RM26.093 bilion telah diperuntukkan kepada kementerian dengan jumlah 15,324 projek termasuk tambahan 808 projek di bawah Pakej Ransangan Ekonomi.

"Sehingga 15 Jun lepas, sebanyak 8,870 projek telah berjaya disiapkan, 5,312 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan manakala 942 projek akan bersambung ke RMK-10," katanya.

Bagi prestasi perbelanjaan pula, Muhyiddin berkata sehingga 31 Mei lepas, kementerian telah membelanjakan sebanyak RM16.668 bilion iaitu 85.12 peratus daripada keseluruhan siling yang ditetapkan, dan dijangka akan dapat membelanjakan keseluruhan peruntukan tersebut menjelang akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain