suria

Dewan Rakyat: Sime Darby Alami Penyusutan Keuntungan Sebelum Faedah Dan Cukai

KUALA LUMPUR: Kumpulan Sime Darby Berhad (Sime Darby) mengalami penyusutan keuntungan sebelum faedah dan cukai apabila mencatatkan sebanyak RM3.165 bilion pada 2009 berbanding RM5.248 bilion pada 2008.

Perolehannya dicatatkan sebanyak RM31.013 bilion pada 2009 berbanding dengan RM34.04 bilion pada 2008.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyusutan keuntungan itu adalah berikutan kerugian keputusan kewangan Bahagian Tenaga dan Utiliti bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2009.

Sehubungan, katanya Lembaga Pengarah Sime Darby pada Oktober tahun lepas telah mewujudkan satu Jawatankuasa Kerja untuk mengkaji semula operasi bahagian tersebut.

"Ini termasuk Projek Qatar Petroleum, Projek Maersk Oil Qatar (MOQ), projek pembinaan vesel untuk digunakan dalam projek MOQ dan projek empangan hidroelektrik Bakun," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (BEBAS-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Wee ingin tahu perincian jumlah kerugian tahunan Sime Darby dan anak-anak syarikatnya sejak 1989 hingga 2009 serta tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah kerugian pada setiap tahun tersebut.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata selepas fasa pertama kajian semula tersebut selesai, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan telah didapati bertanggung jawab ke atas kerugian yang berlaku.

"Namun, kajian masih berterusan dan tindakan yang perlu akan diambil berdasarkan laporan Jawatankuasa Kerja yang dilantik oleh Lembaga Pengarah Sime Darby bagi menentukan sebab-sebab dan jumlah kerugian bahagian tersebut," katanya.

Najib berkata pada 27 Mei lepas, Sime Darby telah mengumumkan fasa kedua kajian semula dengan penilaian secara menyeluruh struktur organisasi dan pelaporan kumpulan.

"Ini merupakan susulan dari penemuan-penemuan Jawatankuasa Kerja tersebut. Kelemahan-kelemahan dalam bidang pengurusan, organisasi dan pelaporan telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kerja dan beberapa syor telah diajukan untuk menanganinya," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, Lembaga Pengarah telah mencadangkan struktur pelaporan dan organisasi dan melantik perunding-perunding untuk mengkaji cadangan berkenaan.

"Selain itu, sebuah firma guaman bebas telah dilantik untuk melaksanakan penyiasatan susulan untuk menentukan kepertanggungjawabab berdasarkan kepada penemuan oleh Jawatankuasa Kerja ke atas empat projek utama Bahagian Tenaga dan Utiliti," katanya.

Jumlah kerugian hasil sebelum faedah dan cukai untuk Golden Hope Plantation Bhd ialah RM610.4 juta pada tahun 2007 manakala jumlah kerugian bagi Kumpulan Guthrie Bhd pada tahun 2006 ialah RM546 juta. - BERNAMA

Artikel Lain