suria

Tuanku Mizan Hadir Mesyuarat Ke-221 Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menghadiri Mesyuarat Ke-221 Majlis Raja-Raja di Istana Negara di sini hari ini.

Mesyuarat dua hari itu dipengerusikan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan dihadiri oleh semua Sultan dan Yang Dipertua negeri kecuali Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Pahang diwakili Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Kelantan diwakili Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

Turut mengiringi Sultan dan Yang Dipertua Negeri pada mesyuarat itu ialah Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing kecuali Kelantan dan Sarawak yang diwakili oleh Timbalan Menteri Besar masing-masing.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan perkara berkaitan agama, pertahanan, keselamatan, pelantikan, ekonomi serta perkembangan industri.

Sempena mesyuarat itu, santapan malam bagi memuliakan Mesyuarat ke-221 Majlis Raja-Raja akan diadakan di Istana Negara malam ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain