suria

Seorang Pengarah Urusan Ditahan Jual Perisian Cetak Rompak

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat menjual peralatan dan perkakasan komputer ditahan bersama-sama tiga yang lain kerana menjual perisian komputer cetak rompak dalam satu serbuan di sini.

Lelaki warga asing berusia 30-an itu ditahan kira-kira 4.30 petang ini bersama tiga lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dipercayai jurujual di dua premis yang terletak di tingkat dua sebuah pusat membeli-belah di sini.

Ketua Pasukan Tugas Khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Fahmi Kassim berkata, kesemua mereka ditahan kerana menjual perisian dan komputer riba yang diisi dengan perisian cetak rompak.

"Kita turut merampas tiga buah komputer riba yang diisi dengan perisian cetak rompak, masing-masing tiga cakera keras dan DVD serta 11 salinan perisian Microsoft cetak rompak," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM27,300.

Fahmi berkata, seramai 15 anggota dan pegawai KPDNKK Putrajaya terlibat dalam operasi itu bersama beberapa orang pegawai dari Syarikat Microsoft (M) Sdn Bhd.

"Sebelum serbuan, beberapa anggota KPDNKK menyamar sebagai pelanggan sebelum bertindak menahan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain