suria

Polis Tahan Tiga Remaja Disyaki Curi Tong Gas

PULAU PINANG: Masalah kecurian tong gas pada kalangan peniaga gerai makanan di sekitar Pulau Tikus di sini sejak seminggu lepas dipercayai selesai selepas polis berjaya menahan tiga remaja semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, ketiga-tiga suspek berusia di bawah 18 tahun itu ditahan ketika sedang berehat di sebuah pondok pada pukul 12.30 tengahari.

"Pemeriksaan ke atas semua suspek juga mendapati mereka positif penggunaan dadah jenis morfin," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menemui lapan tong gas yang dipercayai dicuri dari gerai-gerai makan sekitar kawasan berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kes berlainan, Gan berkata, pihaknya menahan sembilan lelaki yang dipercayai terlibat menyamun sebuah rumah di Sungai Nibong pada Isnin lepas.

Kesemua mereka ditahan di sebuah hotel di Jalan Kelawei pada pukul 1.30 petang semalam.

Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai milik salah seorang suspek, namun barang yang disamun belum ditemui, katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada kumpulan tersebut terlibat dalam kejadian samun lain di negeri itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain