suria

Khairy Pertahan Kenyataan Wee Berhubung Isu Biasiswa

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Khairy Jamaludin berkata kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berhubung isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak berunusr perkauman sebaliknya bertujuan mempertahankan pemberian biasiswa itu.

Beliau berkata dakwaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali kononnya Wee mempersoalkan kontrak sosial dan tidak menghormati perlembagaan persekutuan adalah tidak berasas.

Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, berkata beliau mempertahankan kenyataan Wee kerana telah mendengar sendiri rakaman asal kenyataan itu dan daripada penjelasan yang diberikan juga beliau mendapati tiadanya unsur perkauman dalam kenyataan itu.

"Apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Wee, saya rasa tak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan itu adalah kenyataan perkauman yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, hak serta kedudukan bumiputera.

"Wee buat contoh, biasiswa JPA ini adalah satu-satunya peluang untuk pelajar-pelajar bukan bumiputera dapat biasiswa dari kerajaan. Jadi dia kata, apakah perasaan masyarakat bumiputera sekiranya biasiswa dan pinjaman Mara itu ditarik balik," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen yang turut dihadiri Wee.

Khairy berkata Ibrahim mungkin tidak sedar bahawa tindakan Wee mempertahankan biasiswa JPA itu sebenarnya turut mempertahankan biasiswa untuk kaum Melayu kerana majoriti mereka yang memperoleh biasiswa adalah kalangan orang Melayu.

"Jadi saya tak faham mengapa ini dipersoalkan. Mungkin cara kenyataan itu dilaporkan boleh menimbulkan persoalan tapi apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Wee, saya rasa tak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan itu adalah kenyataan berunsurkan perkauman," katanya.

Wee pula berkata kenyataan beliau tidak sekali-kali mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dan beliau tidak pernah menyebut bahawa kerajaan perlu memansuhkan biasiswa Mara.

"Saya kesal kerana pihak berkenaan tidak mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu sebaliknya cuba mencipta isu perkauman bagi menarik perhatian umum dan menjadi juara hak-hak Melayu," katanya.

Ibrahim yang turut mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen, masih berpendirian bahawa kenyataan Wee sememangnya bermaksud mempertikaikan hak bumiputera untuk mendapatkan biasiswa.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, Wee sepatutnya tidak mengheret isu pemberian biasiswa Mara dalam kenyataannya kerana biasiswa Mara adalah hak keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ibrahim juga menafikan bahawa kecaman yang dibuatnya bertujuan mendapatkan publisiti murahan tetapi apa yang dinyatakan adalah berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Unit Penyelidikan Perkasa yang bertanggungjawab memantau semua laporan yang dikeluarkan dalam akhbar termasuk yang berbahasa Mandarin dan Tamil serta blog.

"Sebenarnya, ini bukan kali pertama beliau mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan mempertikaikan aktiviti Perkasa. Sebelum ini beliau juga mendakwa resolusi yang dicapai ketika Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu yang turut dianggotai Perkasa pada 29 Mei lalu sebagai primitif," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain