suria

Isu JI : Penuntut Tidak Perlu Risau Keselamatan Di IPT - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Para penuntut baru yang memasuki institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) pada Julai ini tidak perlu risau dengan keselamatan mereka di IPT berikutan isu Jemaah Islamiah (JI).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata keadaan di IPT sentiasa terkawal dan berada dalam keadaan selamat.

"Pelajar serta ibu bapa tidak perlu risau... keadaan terkawal dan sangat selamat. Begitu juga kita tidak perlu risau tentang kualiti pendidikan yang ada, tidak tergugat sama sekali.

"Soal pembelajaran dan pengajaran, soal R&D yang dilaksanakan tidak tergugat sama sekali semuanya berjalan seperti biasa... JI ialah isu keselamatan yang ditangani oleh pihak polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Cabaran Usaha Sosial Antara Universiti Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mendedahkan bahawa sejak awal tahun ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 10 anggota JI yang cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut pelajar universiti dan remaja tempatan.

Saifuddin berkata adalah tidak benar jika ada pihak yang menyatakan kerajaan dan polis sengaja mengada-adakan isu JI kerana masalah itu sememangnya wujud.

Beliau berkata Bukit Aman sedang menanganinya dengan cara penuh bijaksana dan Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa memberikan kerjasama penuh.

Berkenaan majlis itu, Saifuddin berkata kementerian mengalu-alukan langkah BSN menganjurkan pertandingan itu, lebih-lebih ia selaras dengan strategi baru yang sedang digubal kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah sosial dalam negara terutamanya masalah kemiskinan.

"Sebagai satu strategi baru dalam langkah afirmatif terutama 40 peratus daripada rakyat yang berada di tingkat paling bawah daripara segi pendapatan, ini telah dibayangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan akan dilaksanakan melalui Model Baru Ekonomi (MBE) yang bakal diumumkan pada bulan Oktober ini. InsyaAllah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain