suria

(H1N1) Turun 31.9 Peratus Minggu Lepas

KUALA LUMPUR: Jumlah kes positif influenza A(H1N1) dilaporkan menurun sebanyak 31.9 peratus kepada 81 kes bagi tempoh dari 13 hingga 19 Jun lepas berbanding 119 kes pada minggu sebelum itu.

"Ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif H1N1 adalah sebanyak 15,152 kes dengan tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah kematian kekal sebanyak 88 kes," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh yang sama dari 13 hingga 19 Jun, tujuh kes kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) turut dikesan di empat buah negeri iaitu Kedah, Selangor, Johor dan Melaka.

Katanya jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan simptom ILI juga menurun 24 peratus iaitu seramai 586 orang berbanding 771 orang pada minggu sebelumnya.

"Baki kes ILI, yang masih dirawat di seluruh negara setakat 19 Jun adalah sebanyak 404 kes di 55 buah hospital termasuk di 11 hospital swasta.

"Dan daripada jumlah 404 kes tersebut, hanya 49 pesakit atau 12.1 peratus yang disahkan positif Influenza A (H1N1) di mana 10 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lapan daripada kes itu merupakan individu yang mempunyai faktor risiko," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata sehingga 18 Jun lepas, seramai 350,760 orang telah menerima vaksin H1N1.

"Daripada jumlah ini, 96,976 orang adalah petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan, 90,582 bukan anggota kementerian seperti anggota polis, tentera, bomba, imigresen dan lain-lain.

"Sejumlah 163,202 lagi merupakan orang awam daripada kumpulan sasar berkeutamaan dan menjadikan dos vaksin yang tinggal adalah sekitar 25,000 dos," jelasnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain