suria

Tempoh Mansuh UPSR, PMR Belum Ditetapkan : Muhyiddin

PUTRAJAYA: Tiada penetapan tempoh masa berhubung keputusan sama ada untuk memansuhkan atau mengekalkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak perlu gopoh dalam membuat sebarang keputusan.

Katanya beliau masih menunggu dan meneliti maklumat balas yang mula diterima daripada pelbagai peringkat masyarakat dan pihak yang berkepentingan berhubung perkara itu.

"Bila kita dah berpuas hati, kita akan maklumkan keputusannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya sebelum ini yang mengajak pakar pendidikan dan masyarakat memberi respon tentang cadangan pemansuhan UPSR dan PMR.

Muhyiddin berkata setakat hari ini, respon yang diterima adalah baik.

"Ada yang bersetuju kedua-dua peperiksaan itu dihapuskan, ada yang mahu tinggalkan satu peperiksaan sahaja.

"Apa-apa pun, kita akan menunggu selepas kita berpuas hati apabila semua pihak dapat menyuarakan pandangan," katanya.

Muhyiddin berkata maklumat yang diterima akan dikumpul dan perbincangan akan dilakukan di peringkat kementerian, yang membabitkan pihak-pihak yang berkepentingan. - BERNAMA

Artikel Lain