suria

Malaysia-Singapura Kurangkan Kadar Tol Link Kedua 30 Peratus

PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura bersetuju mengurangkan kadar tol Link Kedua sebanyak 30 peratus berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Persetujuan itu dicapai pada perjumpaan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong di sini hari ini.

Hsien Loong berada di sini dalam rangka lawatan sehari, yang bertujuan antara lain bagi mengadakan perbincangan susulan berhubung pelaksanaan perkara-perkara yang dipersetujui (POA) berkaitan tanah milik Keretapi Tanah Melayu di republik itu.

"Saya tawarkan pengurangan sebanyak 30 peratus... Encik Lee dengan murah hati membalasnya dengan jumlah yang sama.

"Adalah diharapkan, pengurangan kadar tol ini akan menyaksikan Link Kedua digunakan dengan lebih meluas," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita.

Link Kedua merujuk kepada laluan jambatan yang menghubungkan Singapura dan Malaysia sepanjang 47 kilometer dari Tanjong Kupang ke Senai di Johor, dan sebuah jambatan dua tingkat yang merupakan lebuh raya dua hala tiga lorong yang menghubungkan Tanjung Kupang di Johor dan Tuas di republik itu.

Hsien Loong pula berkata pengurangan kadar tol itu merupakan berita baik bagi warga kedua-dua negara.

"Ia adalah berita gembira bagi rakyat Singapura yang membuat perjalanan ke ke Malaysia serta rakyat Malaysia yang ingin pergi ke Singapura dan semoga lebih banyak rakyat Malaysia dan Singapura akan berbuat demikian," katanya.

Link Kedua, laluan alternatif, selain tambak Johor, menyediakan pelepasan cepat dan perjalanan lancar kepada penggunanya. Kini, ia menjadi pilihan popular bagi tujuan pengangkutan penumpang dan barangan antara kedua-dua negara.

Artikel Lain