suria

Kes Culik Didalangi Warga Nigeria

SHAH ALAM: Satu sindiket penculikan yang didalangi warga Nigeria yang dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang anak ahli politik di negara berkenaan ditumpaskan semalam.

Ia berikutan penahanan empat lelaki rakyat Nigeria, seorang wanita Indonesia dan seorang wanita tempatan di sebuah rumah teres dua tingkat di Cheras, ibu negara semalam.

Mereka kini ditahan reman sehingga Ahad ini untuk disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Mangsa penculikan mereka ialah seorang penuntut lelaki berusia 28 tahun dari sebuah universiti swasta di Cyberjaya, yang telah diculik di kawasan kampus berkenaan kira-kira 8.30 malam pada 23 Mei lalu.

Mangsa kemudiannya dikurung di rumah di Cheras itu.

Pemangku Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, penculik ditahan kira-kira 3.45 petang, beberapa jam selepas mangsa dibebaskan oleh para penculiknya.

Beliau berkata, penculik sebelum itu telah menghubungi keluarga penuntut berkenaan di Nigeria bagi menuntut wang tebusan sebanyak USD10,000 (kira-kira RM31,900).

"Keluarga mangsa kemudian telah menghubungi adik mangsa yang juga penuntut di universiti yang sama yang kemudiannya telah membuat laporan polis berhubung penculikan abangnya.

"Namun sejumlah RM30,000 telah dimasukkan oleh keluarga mangsa ke dalam akaun milik mangsa di Malaysia yang diikuti dengan pembebasan mangsa pada 20 Jun (semalam) di kawasan Cyberjaya kira-kira 1.30 pagi.

"Mangsa mengalami sedikit kecederaan dan dirawat di Hospital Serdang," kata Omar apabila ditanya sama ada mangsa telah dicederakan.

Beliau berkata, ekoran pembebasan mangsa, polis telah menyerbu rumah tersebut dan menahan kesemua penculik yang berumur dalam lingkungan 20 dan 30-an.

Turut dirampas daripada para penculik ialah tiga buah komputer riba, 15 buah telefon bimbit dan 11 keping pasport antarabangsa pelbagai negara.

Sebuah daripada telefon bimbit yang dirampas dipercayai telah digunakan untuk menghubungi keluarga mangsa termasuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang boleh dijadikan bukti.

Omar berkata, turut disiasat ialah kes pemalsuan pasport oleh warga Nigeria terbabit.

"Siasatan turut mendapati anggota sindiket ini mungkin turut terlibat dalam beberapa siri kes penculikan lain berikutan pengakuan seorang lagi mangsa iaitu seorang penuntut wanita Nigeria yang dikatakan telah diculik dan kemudiannya dibebaskan," kata beliau.

Mangsa kedua ini juga merupakan penuntut di universiti yang sama yang dikatakan telah diculik pada 18 Februari lepas dan kemudian dibebaskan pada 24 Februari.

Para penculik telah menuntut USD15,000 (kira-kira RM45,000) daripada keluarga mangsa di Nigeria bagi pembebasannya yang mana wang sebanyak RM10,000 telah dibayar melalui akaun bank penuntut berkenaan.

Omar merayu jika terdapat mangsa lain yang sebelum ini tidak membuat laporan polis supaya tampil bagi membantu siasatan.

"Kami juga percaya ada kes-kes sama dilaporkan di negeri lain yang melibatkan suspek yang sama," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain