suria

Rayuan Bekas Pengarah Penguat Kuasa MPAJ Ditangguh

SHAH ALAM: Keputusan rayuan bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad ditangguhkan ke 23 Julai ini.

Hakim Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu kerana beliau memerlukan masa untuk meneliti rekod rayuan dan memerintahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan lanjut.

Abdul Kudus memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara 11 tahun 10 bulan dan denda RM370,000 atau 17 tahun penjara selepas disabitkan bersalah atas 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner.

Pada prosiding itu, Abdul Kudus, 47, diwakili peguam Afifuddin Hafifi dan M.Manoharan manakala Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fariza Hamzah mewakili pihak pendakwaan.

Abdul Kudus memfailkan rayuan selepas disabitkan bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, dekat sini atas 24 pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM59,000.

Rasuah itu didakwa diterima antara Mei 2001 dan Mei 2004 daripada pemilik restoran Sri Steven’s Corner di Pandan Indah, dekat sini.

Pada 30 Jun 2009, Hakim Noradidah Ahmad memerintahkan Abdul Kudus dipenjara 11 tahun dan 10 bulan serta didenda RM370,000 atau penjara 17 tahun jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Keputusan itu dibuat selepas 11 saksi pendakwaan dan 12 saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 9 Ogos 2003.

Artikel Lain