suria

Polis Lumpuhkan Judi Piala Dunia Babitkan Taruhan RM2.8 Juta

SEREMBAN: Polis hari ini berjaya melumpuhkan rangkaian perjudian Piala Dunia membabitkan pertaruhan RM2.8 juta dengan tertangkapnya lima penganjur di sekitar Jelebu, Seremban dan Jempol.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh kesemua suspek ditangkap pada 16, 17 dan 18 Jun, dua daripada mereka adalah penoreh getah berusia 40 tahun dan seorang wanita yang bekerja sebagai juru jual.

"Kesemua mereka berusia di antara 32 hingga 47 tahun. Ada yang ditangkap ketika sedang mengendalikan pertaruhan di rumah, restoran dan kafe siber, jumlah pertaruhan terendah bermula dari seribu ringgit hingga ke RM10,000," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontingen Polis negeri di sini hari ini.

Polis turut merampas empat komputer bimbit, 14 buah telefon bimbit, sebuah komputer meja, dua modem, tiga alat jalur lebar, lima tetikus, sebuah kereta Proton Iswara dan wang tunai berjumlah RM14,224, katanya.

"Semua pertaruhan dijalankan secara online. Polis percaya penganjur ini sudah mengendalikan judi bola bernilai RM2.8 juta, di mana sehari mereka menerima pertaruhan sebanyak RM400,000 membabitkan tiga perlawanan dalam satu malam," katanya.

Katanya, polis turut menahan tiga lelaki yang merupakan pemain judi.

Polis sedang menyiasat jika penganjur-penganjur judi ini mempunyai hubungan dengan sindiket judi antarabangsa kerana pertaruhan dibuat melalui satu laman sesawang, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain