suria

MAS Mungkin Batal Tempahan A380

Pesawat A380 yang mungkin dibatalkan tempahannya oleh MAS.
Pesawat A380 yang mungkin dibatalkan tempahannya oleh MAS.
Pesawat A380 yang mungkin dibatalkan tempahannya oleh MAS.

PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) amat kecewa dengan kelewatan berterusan dalam penghantaran pesawat A380 dan mungkin memilih untuk membatalkan enam tempahannya.

"Kami tidak menolak sebarang kemungkinan," kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Tengku Datuk Azmil Zahruddin semasa ditanya sama ada MAS mungkin membatalkan tempahan itu.

Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Majid berkata, lembaga telah menjelaskan dengan panjang lebar mengenai isu itu dan amat kecewa dengan penangguhan tersebut yang sering berlaku.

Mengenai perkembangan terkini, MAS dijadual menerima pesawat pertama A380 pada suku kedua 2012.

Airbus pada awalnya dijadualkan mula menghantar pesawat A380 kepada MAS pada Januari 2007 tetapi penghantaran pertama ditangguhkan ke Januari 2011 berikutan kelewatan dalam program pengeluar pesawat itu dan sekali lagi ditunda ke tarikh Ogos 2011.

MAS sudahpun berbincang dengan Airbus mengenai kelewatan itu, kata Tengku Azmil kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan syarikat di sini, hari ini.

Beliau berkata, penangguhan penghantaran itu telah menambah tekanan kepada perancangan syarikat penerbangan tersebut.

"Sangat sukar untuk membuat perancangan, bagi memastikan rangkaian kami berada di landasan yang betul," kata Tengku Azmil, sambil menambah mereka berharap rundingan itu dapat dimuktamadkan pada akhir tahun.

MAS merancang untuk melupuskan beberapa pesawat sebelum ketibaan pesawat A380, dan dengan kelawatan penghantaan Airbus itu ia menjadi suatu yang sangat mengecewakan, katanya.

Ditanya mengenai pampasan, Tengku Azmil berkata: "Kami masih sedang berbincang mengenai pampasan. Kami perlu memastikan bahawa kami tidak berbincang mengenai perkara kelewatan itu."

Mengenai sama ada MAS akan menukar A380 dengan A350, beliau berkata tiada sebarang perancangan seumpama itu buat masa ini, tetapi kami sedang "mempertimbang" pesawat A350 dan Boeing 737.

"Kami hanya mahu memastikan yang sekiranya kami mahu mengambil A350 di masa depan, ia adalah pesawat yang sesuai bagi kami. Tetapi bukan semestinya sebagai sebahagian daripada pakej A380."

Beliau berkata, Boeing 777-300 mempunyai potensi untuk menggantikan A380.

"Terdapat banyak pilihan lain yang tersedia," kata Tengku Azmil.

Mengenai perkembangan lain, Tengku Azmil berkata, adalah salah untuk menyatakan bahawa MAS memerlukan wang pampasan daripada A380 untuk mendapatkan wang.

"Kami mahu mendapatkan wang daripada operasi dan sasarannya ialah RM100 juta hingga RM300 juta bagi keuntungan operasi untuk tahun kewangan semasa. Kami mahu mencapai atau mengatasi sasaran itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain