Berakhirnya Satu Penantian... - Semasa | mStar

Berakhirnya Satu Penantian...

TINGGALAN SEJARAH ...Penjara Pudu yang bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah Jalan Pudu.
TINGGALAN SEJARAH ...Penjara Pudu yang bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah Jalan Pudu.

KHABARNYA, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan projek pembangunan semula kawasan Penjara Pudu mulai awal tahun depan.

Terdapat tiga fasa kesemuanya dan projek besar ini akan memakan masa selama 10 tahun untuk disiapkan. Ia akan dibangunkan oleh UDA sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan. Tidaklah pula dinyatakan berapakah kos pembinaan keseluruhan projek ini.

Baguslah kalau projek ini dapat dilaksanakan juga akhirnya kerana ia bukan projek baru.

Sebenarnya sebelum pelan rancangan membangunkan semula kawasan kompleks Penjara Pudu ini diumumkan, penulis telahpun membangkitkannya dalam akhbar mingguan bahasa Malaysia The Star, Mingguan mStar Ahad lalu(20 Jun).

BUKAN PROJEK BARU

Penulis telah menyatakan betapa rancangan untuk membangunkan tapak kompleks Penjara Pudu itu telahpun dimulakan sejak tahun 2004 lagi. Tetapi projek ini sukar untuk dilancarkan hanya kerana satu masalah sahaja - bagaimanakah hendak menyakinkan pembeli agar 'melabur' dalam satu kawasan yang suatu ketika dahulu menempatkan pelbagai jenis dan latar belakang penjenayah dan juga tempat di mana hukuman gantung sampai mati dijalankan.

Ini adalah logik asas yang perlu diambil kira oleh pemaju kerana jika projek bernilai beratus juta ringgit tidak ada pembelinya, siapakah yang hendak menanggung kerugian tersebut.

Berdasarkan pengumuman terbaru yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, hari ini, projek pembangunan semula tapak Penjara Pudu itu akan mengandungi 40% kawasan perumahan dan 60% kawasan komersial termasuklah pembinaan hotel bertaraf lima bintang.

RISIKO

Persoalan paling besar yang penulis bangkitkan ialah soal pembeli dan bakal peniaga di situ - apatah lagi bagi mereka yang berpegang kepada pantang larang dan percaya kepada konsep Feng Shui sudah pastinya tempat seperti Penjara Pudu menjadi perkara terakhir yang berada dalam benak pemikiran mereka khususnya bagi masyarakat Cina.

Malah perkara pertama yang bermain dalam fikiran semua pembeli ialah bangunan apakah yang akan dibina di tapak tempat hukuman gantung dijalankan.

Jika di tapak itu dibina apartment, siapakah yang sanggup membelinya. Jika dibina unit kedai pula siapakah yang sanggup berniaga di situ dan jika dibina pasaraya, pengusaha manakah yang bersedia membuka pasaraya mereka. Dan jika dibina hotel, siapakah pula yang sanggup bermalam di hotel itu.

Semua ini sudah pastinya bermain-main di otak kita semua khususnya pihak pemaju iaitu UDA yang perlu mengambil kira semua risiko ini jika projek membangunkan semula tapak Penjara Pudu diberi lampu hijau untuk dibangunkan.

Malangnya, tapak Penjara Pudu terletak di tengah-tengah segi tiga emas Bukit Bintang dan mempunyai nilai hartanah yang tinggi. Hendak dibiarkan reput pun tak kena, dijadikan tempat tarikan pelancong pun tak ada siapa yang melawat dan hendak dibangunkan pun nampak macam tak kena.

SEJARAH

Apa keputusannya sekali pun, langkah pertama merobohkannya bermula malam ini (21 Jun) jam 10 nanti. Tembok penjara ini sepanjang 394 meter yang sebelum ini mencatat sejarah sebagai tembok mural yang terpanjang di dunia bakal tumbang untuk memberi laluan kepada projek pelebaran Jalan Pudu.

Tembok Penjara Pudu itu dibina pada tahun 1891 bermula dari Jalan Hang Tuah sehinggalah menyusuri Jalan Pudu dan siap sepenuhnya lima tahun kemudian pada kos RM15,360.90.

Perkhidmatan Penjara Pudu dihentikan pada tahun 1996 apabila penjara itu tidak dapat menampung jumlah penghuninya yang semakin ramai iaitu melebihi 6,000 orang (bermula sejak tahun 1985 lagi).

Akhirnya kesemua banduan Penjara Pudu telah dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh. Dan begitulah berakhirnya sejarah Penjara Pudu.

PENGALAMAN DIRI SENDIRI

Penulis sendiri mempunyai kenangan manis yang tidak dapat dilupakan tentang Penjara Pudu.

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1986. Pada suatu tengah hari, penulis yang bertugas sebagai OC (masuk kerja awal) di Utusan Melayu telah menerima panggilan telefon daripada seorang yang tidak dikenali memaklumkan bahawa terdapat rusuhan di dalam Penjara Pudu dan dua orang doktor yang datang bertugas pada hari itu telah dijadikan tebusan oleh beberapa orang banduan.

Selama seminggu kami semua para wartawan telah 'berkampung' di hadapan Penjara Pudu sepanjang tempoh pemberontakan itu berlaku. Kami makan dan tidur di hadapan pintu masuk Penjara Pudu. Setiap pagi, tengah hari dan malam, akan ada budak Utusan yang datang menghantar nasi bungkus.

Banduan yang menahan doktor tersebut sebagai tebusan enggan menyerah diri. Akhirnya pasukan elit polis yang diketuai oleh Datuk Zaman Khan telah berjaya menyelamatkan doktor tersebut dan membebaskan tahanan yang lain tanpa mencederakan sesiapa pun.

Maka penantian kami di hadapan Penjara Pudu pun berakhir selepas hampir seminggu membuat kem di situ. Dan malam ini satu lagi penantian akan berakhir...

ROZAID A RAHMAN ialah Pengarang Bersekutu mStar Online dan Mingguan mStar. Beliau boleh dihubungi di rozaid@thestar.com.my

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dr. Mohd. Asri Dijangka Sertai Umno

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain