suria

Umno Harus Berubah Ikut Trend – Najib

BAGAN DATOH: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata persepsi terhadap politik Umno harus berubah mengikut trend terkini dan tidak boleh mengikut cara lama dalam usaha untuk menawan kembali hati rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata Umno perlu sentiasa dalam keadaan segar melalui pembaharuan yang mengikut persekitaran politik yang berbeza dan sentiasa berubah-ubah mengikut kehendak rakyat.

Katanya, trend perubahan perlu dilakukan untuk menangkis segala tohmahan daripada pembangkang yang sentiasa mengelirukan rakyat dengan persepsi yang munasabah.

"Walaupun Umno telah berusia 64 tahun dan merupakan produk yang telah berusia tetapi ia perlu diubah mengikut suasana politik supaya rakyat terus menyokong Umno", katanya merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh di Wisma Umno bahagian itu di sini hari ini.

Perdana Menteri mengakui politik mengalami pasang surut kerana ia adalah lumrah dalam politik malah dalam sistem demokrasi berparlimen atau pun demokrasi berdasarkan persepsi sistem merupakan satu perkara biasa yang tidak dapat dielakkan.

"Apa yang penting bagi kita ialah menerima turun naik kedudukan politik akan tetapi suatu keadaan yang kurang selesa maka kita perlu menguatkan iltizam, bertekad untuk berusaha bekerja lebih kuat lagi dalam merangka strategi politik, mengukuhkan barisan bekerja dalam satu pasukan agar kesedaran kebangkitan ini kita akan capai kejayaan", katanya.

"Kalau kita melihat dari segi sejarah perkembangan politik Umno, bermula dari Parti Perikatan hingga BN, tiada siapa yang dapat menafikannya dengan jasa dan pengorbanan yang banyak disumbangkan untuk kesejahteraan rakyat di bumi yang bertuah ini" kata Najib.

"Yang menjadi masalah kepada kita ialah pemikiran rakyat yang sentiasa berubah-ubah dari masa ke satu masa kerana angkatan lama yang terdiri daripada pejuang kemerdekaan semakin berkurangan", katanya. Katanya pemimpin politik mesti turun padang melihat kesusahan rakyat kerana rakyat tidak mahu pemimpin yang bersikap bersikap angkuh dan ego.

Beliau juga meminta anggota Umno mengambil iktibar dalam keseronokan menyokong pasukan yang mengambil bahagian dalam perlawanan bola sepak piala dunia.

"Tidak semestinya pasukan yang kita sokong selalu menang akan terus bertahan saja tetapi satu hari ia akan bolos juga (gol), ada masa kena serang dan ada masa kita menyerang balas", katanya kerana adanya pihak yang suka untuk memutar belitkan fakta.

Sebagai contoh, katanya dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang lepas, DAP telah memutar belit fakta dengan mendakwa kapal selam Scorpene tidak boleh menyelam sedangkan ia hanya masalah teknikal bukannya tidak boleh menyelam langsung.

Oleh itu, kataya Umno mesti buktikan kekuatannya selaras dengan teknologi terkini supaya maklumat dapat disampaikan secara telus kepada rakyat.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain