suria

Sindiket Eksport Baja Tumpas

NEW DELHI: Kastam di Mumbai menumpaskan sindiket membabitkan penyeludupan baja, barang eksport terhad, dipercayai ke Malaysia dengan penangkapan dua orang rakyat India dalam serbuan di Pelabuhan Nhava Sheva di sini.

Pegawai siasatan Unit Risikan Kastam Mumbai Vipin Nair berkata dalam serbuan itu, pihaknya yang menemui 14 kontena yang berisi potasium klorid sebagai "bahan binaan" yang akan dihantar ke Malaysia.

Dua suspek itu dari Mumbai Santosh Menon, 51, dan seorang lagi Harshil Savla yang kini dalam tahanan untuk menyiasat sindiket tersebut dan hubungan rangkaian kewangan mereka, menurut ExpressIndia.com.

Beliau berkata suspek itu juga merancang mengeksport enam lagi kontena yang berisi baja ke Malaysia.

Bagaimanapun pegawai itu tidak memaklumkan nilai barang terhad itu.

Sindiket itu mengaut keuntungan daripada eksport haram itu yang diberikan subsidi oleh kerajaan India untuk petani miskin.

Januari lepas, Direktorat Risikan Hasil (DRI) merampas lima kontena berisi potasium klorid yang dipercayai akan dihantar ke Malaysia bernilai hampir RM300,000.

Bahan itu diisytihar sebagai tepung Bentonite, sejenis tanah liat yang biasanya digunakan dalam industri kejuruteraan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain